Al-Sultan Abdullah lafaz sumpah Agong ke-16 hari ini

A
A

1. Al-Sultan Abdullah lafaz sumpah Agong ke-16 hari ini

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam satu upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, hari ini.

Turut melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai ketua utama Negara bagi persekutuan, perlembagaan Negara menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong secara undang-undangnya menganggotai tiga institusi kerajaan iaitu bdan eksekutif, perundangan dan memainkan peranan berkaitan badan kehakiman.

2. Letak Yadim bawah Majlis Raja-raja Melayu, bukan JPM

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mencadangkan supaya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) diletakan di bawah Majlis Raja-raja Melayu dan bukan lagi Jabatan Perdana Menteri.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, ianya bersesuai dengan kedudukan Raja selaku ketua yang menjaga agama Islam di negara ini.

Menurutnya, cadangan tersebut juga dilihat bersesuaian dengan situasi semasa apabila badan yang menjaga dan menyampaikan dakwah berkaitan agama islam kini menerima tempias politik.

“Apa yang pasti kini ia telah dikuasai orang politik dan agenda politik menjadi keutamaan berbanding tujuan asal penubuhannya, “ katanya kepada Sinar Harian

3. Dua projek ceroboh tanah di KL dibongkar

Kementerian Wilayah mengenal pasti dua lagi pembinaan projek yang meragukan dibina atas tanah kerajaan yang melibatkan zon guna tanah untuk kawasan lapang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kedua-dua tanah berkenaan digunakan untuk membangunkan dewan termasuk satu daipadanya dibina secara haram tanpa sebarang kelulusan pembangunan.

Menurutnya, projek pertama melibatkan Kompleks Tun Abdul Gaffar Baba iaitu atas lot 33600 jalan Kuchai Jaya 1, Mukim Petaling seluas 0.32 hektar yang mendapat kelulusan pembangunan bertarikh 24 April 2017

Khalid berkata, projek kedua melibatkan sebuah dewan dua tingkat iaitu Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa Perdana Lot 27679 Jalan Gombak Mukim Setapak berkeluasan 0.28 hektar.

Tempoh sehingga 28 Februari diberikan kepada kedua-dua pemilik bangunan untuk berhubung dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian, DBKL mahupun Kementerian Wilayah untuk penyelesaian isu berkenaan.

4. 'PRK Semenyih penentu kerjasama Pas-Umno'

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, kerjasama antara kedua-dua parti Pas & Umno bergantung pada keputusan PRK Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac ini.

PRK Semenyih akan menjadi kayu pengukur, sejauh mana kerjasama itu dapat diteruskan. Jika pembangkang menang kemungkinan besar kerjasama itu akan berterusan, dan sebaliknya akan berlaku sekiranya mereka kalah.

"Katanya, kerjasama PAS dan Umno boleh bertahan lama sekiranya mereka mengalami kekalahan dalam PRK Semenyih nanti.

Tiga PRK di Selangor yang lalu menunjukan bahawa rakyat Selangor masih bersama dengan Pakatan Harapan (PH), termasuk di kawasan majoriti Melayu, walaupun sudah wujud kerjasama PAS dan Umno pada peringkat awal," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, jika dilihat sejarah hubungan kedua-dua parti ini menunjukkan mereka tidak boleh kekal lama kerana masing-masing mempunyai kepentingan tertentu selain ideologi politik yang berbeza.

5. Dr Mahathir juara carta mingguan berita dunia terhangat Al Jazeera

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjuarai carta ‘Sibaq Al Akhbar’ (Berita-berita Dunia Paling Hangat) bagi kategori ‘Tokoh Minggu Ini’ kelolaan saluran berita Arab terkenal Al Jazeera, apabila memperoleh undian tertinggi penonton saluran televisyen berkenaan.

Keputusan undian yang dipaparkan secara langsung pada setiap Rabu itu, menunjukkan, Dr Mahathir memperoleh 49 peratus undian responden yang terdiri daripada penonton saluran itu di seluruh Semenanjung Tanah Arab sekali gus mengatasi tiga tokoh lain.

Timbalan Perdana Menteri Itali, Luigi Di Maio memperolehi undian kedua tertinggi dengan 33 peratus diikuti Ulama Saudi Dr Ahmed al-Amari dengan 13 peratus, manakala utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Yaman, Martin Griffiths lima peratus.

Menurut pengacara program, nama Dr Mahathir menjadi sebutan dan meraih populariti tertinggi minggu ini ekoran kenyataan lantang beliau terhadap isu Palestin-Israel.