Kluster Penjara Kepayan: Kes Covid-19 dijangka melonjak tinggi

Penjara Kepayan
Penjara Kepayan
A
A
A

KOTA KINABALU - Jumlah kes positif koronavirus (Covid-19) yang baharu di Sabah dijangka meningkat secara mendadak susulan saringan daripada kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, walaupun hari ini Kota Kinabalu mencatatkan 90 kes iaitu dari kluster Penjara Kepayan namun ada kemungkinan besar kes positif ini meningkat.

"Saya ingin beri ingatan bahawa ia terbit daripada kluster baharu di Penjara Kepayan, ada kemungkinan besar bahawa kes positif di Kota Kinabalu meningkat secara mendadak pada hari akan datang bergantung pada ujian Covid-19 ke atas banduan yang berada di pusat penjara tersebut.

"Mengikut laporan awal mengenai ujian yang dilaksanakan di kalangan banduan dan kakitangan, hampir 60 peratus daripada ujian dibuat adalah positif," katanya dalam sidang media hariannya di Wisma Innoprise, hari ini.

Beliau turut berkata, jumlah banduan ditempatkan di pusat Penjara Kepayan adalah sekitar 2,700 orang.

"Ini bermakna, selepas semua banduan ini disaring sekiranya peratusan yang positif itu tinggi maka ia dengan sendirinya akan mengakibatkan kes positif di Kota Kinabalu melonjak kepada satu angka yang amat tinggi.

"Jadi saya buat kenyataan awal ini supaya kita faham kalau beberapa hari ini kes di Kota Kinabalu meningkat ia datang dari kluster Penjara Kepayan yang melibatkan banduan dan juga pegawai serta kakitangan penjara di Kepayan," katanya.

Sidang media harian Masidi di Wisma Innoprise, hari ini.
Sidang media harian Masidi di Wisma Innoprise, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Masidi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan memberi fokus sepenuhnya kepada kluster penjara di Kepayan.

"Ujian-ujian sedang giat dilaksanakan bukan saja di kalangan banduan tetapi juga keluarga kakitangan dan pegawai yang bertugas di pusat berkenaan.

"Seperti yang kita umumkan beberapa hari lalu bahawa tempat tersebut telah diletakkan di bawah PKPD," katanya.

Sementara itu, Masidi turut memaklumkan jumlah yang dicatat di Lahad Datu tinggi hari ini iaitu sebanyak 115 kes baharu adalah termasuk daripada keputusan saringan yang tertunggak.

"Ini telah mengakibatkan jumlah kes di Lahad Datu tinggi berbanding sebelum ini.

"Bagaimanapun, dalam taklimat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan taklimat oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia tengah hari tadi, saya telah diberi perakuan bahawa semua langkah sedang diambil untuk memastikan pengawalan dibuat agar kita dapat melandaikan kes-kes yang tinggi di Sabah," katanya.

Terdahulu, beliau turut melaporkan terdapat tiga kluster baharu dikenal pasti di Sabah hari ini iaitu dua di Kudat dan satu di Penampang.

"Kluster baharu adalah kluster Basung yang melibatkan peniaga-peniaga ikan di Kudat dan setakat ini 26 kes positif telah dilaporkan.

"Kluster kedua, dipanggil kluster Inai, ini berpunca dari majlis berinai, majlis orang kahwin yang telah mengakibatkan 13 orang disahkan positif Covid-19. Kluster ketiga di Penampang melibatkan sebuah restoran dipanggil kluster Tempayan dan setakat ini seramai 19 pekerja dan pelanggan telah dikenal pasti positif dan usaha sedang dibuat untuk mengesan kontak yang berkemungkinan terdedah pada mereka yang disahkan sebagai positif," katanya.