Perangi rasuah perlu penyelarasan rentas sempadan: SPRM

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - Berikutan rasuah semakin rumit dan transnasional, usaha memerangi rasuah dan pengubahan wang haram tidak boleh dilakukan oleh hanya satu institusi atau sebuah negara, sebaliknya memerlukan kerjasama untuk meningkatkan kolaborasi dan penyelarasan rentas sempadan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dalam ucaptama pada Mesyuarat Network on Anti-Corruption Authorities and Law Enforcement Agencies (ACT-NET) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang diadakan secara maya semalam memetik contoh kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau berkata, usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB telah dimulakan sejak tahun 2019 di mana Amerika Syarikat dan Singapura telah membantu Malaysia mendapatkan semula aset lebih AS$3.5 bilion setakat ini.

“Usaha untuk mendapatkan kembali aset yang lain masih terus berjalan dengan bantuan negara lain seperti Amerika Syarikat dan Singapura,” katanya.

Azam berkata, Malaysia telah berikrar memberikan komitmennya dan mematuhi prinsip-prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) dan sebagai pihak, bekerjasama dalam pelaksanaannya.

Pihak penguat kuasa Malaysia melalui mekanisme dan jaringan berbeza termasuk Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), Kumpulan Asia Pasifik mengenai Pengubahan Wang Haram (APG), Interpol, Aseanapol dan Egmont Group of Financial Intelligence Units, katanya.

Azam berkata, Malaysia melalui SPRM juga terlibat secara aktif dalam Economic Crime Agency Network (ECAN), rangkaian rasmi agensi penguatkuasaan undang-undang dari pelbagai negara termasuk beberapa anggota APEC yang terlibat terutamanya dalam menyiasat dan membanteras jenayah ekonomi, termasuk penipuan dan rasuah.

SPRM juga terlibat secara aktif dalam South East Asia Party Against Corruption and Anti-corruption Agency (ACA) Forum, katanya.

Artikel Berkaitan:

Azam berkata, Malaysia mempunyai rangka kerja perundangan dan peraturan yang kukuh untuk pemulihan aset dan menunjukkan penyelarasan antara agensi yang berkesan, membawa kepada kerjasama antarabangsa mengenai pemulihan aset.

Malaysia mempunyai perjanjian dua hala atau perjanjian dengan beberapa negara untuk memudahkan penguatkuasaan perintah pemulihan, pelucuthakan atau rampasan dan boleh memberikan bantuan perundangan bersama (MLA) kepada negara yang tidak mempunyai perjanjian lagi, katanya. - Bernama