90 peratus positif Covid-19 kerana ke pusat beli belah palsu

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyangkal maklumat yang mendakwa hampir 90 peratus daripada mereka yang positif koronavirus (Covid-19) adalah individu yang mengunjungi pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang diragui kesahihannya, selain sentiasa menyemak berita itu sama ada daripada sumber rasmi atau tidak.

“Perkara yang belum tentu sahih jika turut disebarkan dan sekiranya didapati tidak benar, anda juga boleh dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disiarkan di Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di talian 03-89115103 atau layari www.sebenarnya.my, sekiranya menerima berita yang diragui kesahihannya.

Hari ini tular berita palsu mendakwa 90 peratus individu yang positif Covid-19 merupakan mereka yang mengunjungi pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, setakat ini sebanyak 273 kertas siasatan dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 136 kes masih dalam siasatan, 35 kes telah didakwa di mahkamah, 21 didapati bersalah, 13 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran.

“Pada masa sama, sebanyak 398 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh PRP KKMM yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: