Isu Khairuddin: Rujuk kenyataan sebelum ini, kata Dr Noor Hisham

 Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meminta semua pihak merujuk kembali kenyataannya yang dikeluarkannya sebelum ini berhubung Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Turki, Julai lalu.

Menurutnya, dua kenyataan telah dibuatnya pada 25 Ogos lalu ketika ditanya mengenai kompaun terhadap Khairuddin.

"Saya telah ditanya soalan sama sebelum ini," katanya ketika ditanya pemberita mengenai alasan Jabatan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Dr Noor Hisham berkata, sebagai barisan petugas hadapan, apa yang penting adalah untuk memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi.

"Ia adalah untuk memastikan kita dapat melaksanakan perkhidmatan kepada awam," katanya.

Pada 25 Ogos lalu, Dr Noor Hisham menegaskan pihaknya dan pengurusan tertinggi hanya mengetahui mengenai hal berkenaan pada minggu sebelumnya melalui laporan media.

Katanya, KKM telah menyediakan kertas siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut sambil menyifatkan adalah tidak adil untuk memberi komen kerana bimbang ia mengganggu siasatan.

Isu Khairuddin yang didakwa melanggar kuarantin didedahkan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada 18 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Atas rasa tanggungjawab selepas melanggar SOP kuarantin, Khairuddin membuat keputusan memulangkan semua gajinya sebagai menteri bermula Mei hingga Ogos.

Beliau turut memohon maaf terhadap kekhilafan tersebut.

Khairuddin kemudiannya dikompaun RM1,000 oleh KKM selepas didapati bersalah mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Hari ini, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Khairuddin setelah didapati tiada keterangan yang kukuh bagi memenuhi beban bukti untuk memulakan pendakwaan di mahkamah.