Agensi perisikan AS 'pasif dan naif': Trump

Donald Trump. - Foto AP
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menganggap agensi perisikan negara itu sebagai 'naif' berhubung situasi Iran, dan menolak penilaian agensi berkenaan berkaitan ancaman Korea Utara.

"Berwaspada dengan Iran. Mungkin mereka (agensi perisikan) harus kembali bersekolah!" kata Trump di Twitter sambil menambah pegawai perisikan AS dilihat bersikap amat pasif dan naif berhubung ancaman Iran.

Trump berkata demikian, susulan laporan agensi perisikan AS yang menyatakan Iran tidak menghasilkan senjata nuklear.

Presiden Trump mendakwa, Iran berterusan membuat masalah di seluruh Timur Tengah pada 2016, namun keadaan berubah sejak penarikan diri AS daripada perjanjian nuklear Iran.

Bagaimanapun, Trump memberi amaran Teheran masih berpotensi mendatangkan ancaman dan konflik, merujuk kepada laporan bahawa Iran menjalankan ujian roket terbaharu.

Laporan agensi perisikan turut menyebut, Korea Utara tidak mungkin menyerahkan stok senjata dan kebolehan pengeluarannya.

"Masa akan menentukan apa yang bakal terjadi dengan Korea Utara, namun saya berharap pertemuan kali kedua dengan Kim Jong-Un kelak akan mendatangkan hasil positif," kata Trump lagi.

Terdahulu, Pengarah Perisikan Negara, Dan Coats dan beberapa ketua perisikan lain membentangkan laporan 'Worldwide Threat Assessment' kepada pihak Senat, pada Selasa lalu.

Laporan tersebut turut memberi amaran berhubung ancaman siber dari China dan Rusia yang semakin membimbangkan, di mana kedua-dua negara didakwa mencari peluang mempengaruhi pilihan raya presiden AS pada tahun 2020. - BBC