Belanjawan 2021 tumpu aspek kelangsungan ekonomi: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan kini giat merangka Belanjawan 2021 termasuk mengadakan sesi perbincangan bersama kementerian lain bagi mempertimbangkan cadangan serta keperluan pengoperasian serta pembangunan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz turut memberi jaminan bahawa Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini akan terus menumpukan aspek kelangsungan ekonomi bagi memastikan momentum pemulihan ekonomi itu dapat dikekalkan.

Menurutnya, sebagaimana dinyatakan sebelum ini, Belanjawan 2021 tersebut mempunyai tiga matlamat utama untuk melindungi, memulih dan menjamin perkara seperti kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Pada masa sama, kerajaan menyeru agar rakyat juga dapat bersama-sama dalam usaha memerangi penularan Covid-19 dengan sentiasa mematuhi amalan normal baharu.

“Ini seperti mempraktikkan amalan penjarakkan fizikal, menjaga kebersihan dan kesihatan serta kawalan kendiri dalam mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena laporan ke-26 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan turut sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia untuk menambah peruntukan bagi memerangi penularan Covid-19 sekiranya diperlukan.

Setakat ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.7 bilion bagi memerangi penularan pandemik tersebut yang disalurkan menerusi 14 kementerian dan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Malah, katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan juga telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM44 juta bagi memperkukuh usaha di peringkat barisan hadapan kesihatan di negeri Sabah.

Selain itu, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kata Tengku Zafrul.

“Kedua-dua peruntukan tambahan ini selaras dengan komitmen bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 11.36 juta rakyat telah menerima RM50 dalam e-dompet yang berjumlah RM567.9 juta menerusi program yang bermula 31 Julai 2020 dan tamat pada 30 September lepas.

Menurutnya, penyedia khidmat e-dompet seperti Boost, GrabPay dan Touch n Go eWallet juga telah menyumbang manfaat dalam bentuk padanan kredit serta pelbagai insentif lain berjumlah RM433.8 juta dalam usaha merancakkan lagi ekonomi Malaysia. - Bernama