Covid-19: Terdapat kes positif, SMK Tunku Besar Tampin ditutup

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin diarahkan tutup selama tujuh hari kerana terdapat kes positif koronavirus (Covid-19).
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin diarahkan tutup selama tujuh hari kerana terdapat kes positif koronavirus (Covid-19).
A
A
A

TAMPIN - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin di sini diarahkan tutup selama tujuh hari bermula esok sehingga Rabu kerana terdapat kes positif koronavirus (Covid-19).

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, penutupan sekolah itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan.

"Penduduk di daerah Tampin tidak perlu panik dan sentiasa mematuhi nasihat kerajaan dari masa ke masa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya jumlah sebenar kes positif Covid-19 di sekolah tersebut, Veerapan berkata, ianya masih dalam siasatan pihaknya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan terdapat lapan kes positif Covid-19 dicatatkan hari ini di daerah Tampin iaitu empat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah (Keru) dan empat lagi di DUN Gemas (Bangkahulu).

"Empat kes merupakan kes penularan tempatan manakala empat kes dikategorikan sebagai import B.

"Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diharap sentiasa memberi peringatan kepada penduduk di kawasan kampung masing-masing supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Di samping itu, saya menyeru hanya kontak rapat dengan pesakit diminta hadir untuk buat saringan Covid-19. Pusat Kesihatan daerah (PKD) Tampin sedang mengambil langkah-langkah untuk mengesan kontak rapat pesakit Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, satu surat rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut dikongsikan Veerapan berhubung penutupan sekolah tersebut hari ini.

Surat yang ditandatangani oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Md Piah Md Jamin itu juga menyatakan guru-guru hendaklah bekerja dari rumah dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi pelajar sepanjang tempoh penutupan sekolah.