Isu Vellfire: Sanusi fail saman fitnah terhadap Mahfuz, Ismail

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor akan memfailkan saman fitnah terhadap beberapa individu termasuk Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh yang mengaitkan beliau dengan pembelian sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) baru-baru ini.

Beliau berkata, selain ahli-ahli politik berkenaan beberapa pihak termasuk portal dan akaun Facebook palsu juga sedang disiasat oleh peguamnya.

"Kesemua mereka ini dilihat membuat tuduhan kepada saya secara lantang di media sosial mereka.

"Saya tidak akan memberi sebarang penjelasan ketika ini. Penjelasan daripada saya sepatutnya diminta sebelum mereka tuduh dan tularkan tentang pembelian kereta berkenaan, bukannya buat tuduhan dulu, baru minta penjelasan," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurutnya, beliau tidak tahu menahu berkaitan pembelian kenderaan terbabit kerana ia diuruskan oleh SADA melalui jawatankuasa perolehan aset yang mempunyai peruntukan tertentu untuk dibelanjakan.

"Saya tidak tahu apa-apa pun, kereta itu pun tak tengok lagi, naik pun tak, tiba-tiba depa duk kata saya hebat dengan Vellfire.

"Saya hanya menggunakan dua kenderaan rasmi iaitu Volvo S90 dan Mercedez S320 yang dibeli bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini," katanya.

Katanya, tindakan saman yang dikemukakannya ini merupakan satu pengajaran supaya politik yang lebih matang dapat diwujudkan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Ahli politik perlu mendidik orang ramai dengan fakta yang berasaskan kebenaran dan tidak seharusnya menimbulkan kekeliruan sehingga wujudnya kebencian orang ramai kepada musuh politik mereka," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan kenderaan mewah terbabit yang dikatakan dibeli SADA pada harga RM345,000 dan memiliki spesifikasi tertinggi.