Barang kes RM1.2 juta dilupus

Mohd Khairul melakukan proses pelupusan barang-barang kes antaranya pakaian, beg tangan, kasut dan jam tangan di Pejabat KPDNHEP, Johor Bahru hari ini.
Mohd Khairul melakukan proses pelupusan barang-barang kes antaranya pakaian, beg tangan, kasut dan jam tangan di Pejabat KPDNHEP, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melupuskan pelbagai barang kes bernilai RM1.2 juta dari Januari lalu hingga kini.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Khairul Anuar Bohro berkata, semua barangan dilupuskan itu melibatkan 155 kes dan 117,043 unit barangan.

"Daripada jumlah ini, kes melibatkan Akta Perihal Dagangan 2011 merupakan barang kes paling tinggi dilupuskan iaitu 128 kes melibatkan barangan tiruan yang dilupuskan berjumlah RM866,614.

"Kes melibatkan Akta Hak Cipta 1987 pula 19 kes dengan jumlah pelupusan berjumlah RM260,100. Bagi pelupusan melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961, terdapat tujuh kes dengan jumlah pelupusan RM41,025," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

No Image Caption

Beliau berkata, bagi kes Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terdapat satu kes dengan jumlah pelupusan sebanyak RM75,440.

Katanya, pelupusan barang kes berkenaan melibatkan beberapa barangan tiruan seperti pakaian, beg tangan, kasut dan jam tangan.

"Barangan melibatkan hak cipta seperti perisian komputer, video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD). Bagi pelupusan barangan kawalan melibatkan gula, minyak masak, tepung, gas cecair petroleum (LPG) dan diesel," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, KDPNHEP Johor menasihatkan peniaga-peniaga mematuhi undang-undang perniagaan ditetapkan pihak kementerian terbabit.

Pengguna di Johor katanya, boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada pihak kementerian menerusi talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); Call centre 1800 886 800; Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088; nombor aduan WhatsApp KPDNHEP 019-279 4317 dan boleh berhubung melalui e-mel: e-aduan@kpdnhep.gov.my; aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana-mana Pejabat Cawangan Daerah KPDNHEP di seluruh negeri.