Cerap kualiti, kuantiti air sungai guna dron

Amirudin (dua dari kiri) menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar di Bangunan SSAAS hari ini.
Amirudin (dua dari kiri) menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar di Bangunan SSAAS hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menggaris beberapa langkah penyelesaian jangka panjang dan pendek bagi menangani isu pencemaran sumber air mentah di sungai seluruh negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan negeri akan menambah lebih 20 kakitangan bagi melakukan pemantauan di seluruh lembangan sungai negeri ini.

Beliau berkata, tambahan kakitangan itu akan ditempatkan di dua jabatan iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk melakukan tugas pemantauan tersebut.

"Selain itu, kita akan menggunakan dron yang mampu mencerap kualiti dan kuantiti air sungai menerusi aplikasi dibangunkan oleh sebuah syarikat yang bertapak di Malaysia," katanya ketika sidang akhbar di Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) hari ini.

Sepanjang tahun ini sahaja, Selangor dilaporkan telah berdepan lapan kes pencemaran sungai sehingga menyebabkan gangguan air tidak berjadual kepada pengguna.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan Selangor mempunyai perancangan untuk meningkatkan pengurusan air di negeri ini dengan menggunakan teknologi tertentu bagi menyahbau di loji-loji rawatan tanpa perlu dihenti tugas.

Selain itu, beliau berkata, teknologi lain yang mungkin dapat digunapakai adalah dengan menyekat air tercemar di sungai dan menyalurkan bekalan menggunakan beberapa kolam takungan lain atau menerusi Projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS).

"Air Selangor sedang meneliti hal ini secara menyeluruh dan sudah pasti ia akan libatkan kos ratusan juta ringgit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai pemberian diskaun kepada pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air, Amirudin berkata, perkara itu ada dibincangkan, namun tiada sebarang ketetapan dibuat buat masa ini.

Katanya, kerajaan negeri berpendapat kos bagi pemberian subsidi itu adalah lebih wajar dibelanjakan untuk pelaksanaan penambahbaikan pengurusan air di Selangor.

"Kita sudah buat kiraan sebelum ini, kalau kerajaan negeri beri diskaun RM2 bagi setiap akaun pengguna, ia akan menelan kos sekitar RM4 juta.

"Lebih baik gunakan RM4 juta untuk tambahan pegawai atau gunakan untuk kemajuan teknologi yang ingin dibangunkan selepas ini," katanya.