Empat kontena makanan haiwan dari China dirampas

Produk makanan gluten jagung yang digunakan sebagai makanan haiwan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen import permit yang sah.
Produk makanan gluten jagung yang digunakan sebagai makanan haiwan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen import permit yang sah.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk empat kontena produk keluaran pertanian dari China di pintu masuk Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) Isnin lalu.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, makanan gluten jagung yang digunakan sebagai makanan haiwan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen import permit sah dalam pemeriksaan yang dilakukan pada jam 4.53 petang.

Menurutnya, barang dagangan seberat 112,000 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM211,777.16 disita untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil siasatan mendapati pengimportan makanan gluten jagung dalam bentuk serbuk bertujuan untuk diproses menjadi makanan haiwan untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.

"Kegagalan mengemukakan import permit yang sah semasa pengimportan adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zarina berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, Maqis sentiasa mengambil langkah proaktif bagi isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Katanya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Artikel Berkaitan: