Geng Rusa Boy edar, proses heroin tumpas

Huzir Mohamed (kiri) menunjukkan gambar beberapa individu daripada 'Gang Rusa Boy' yang dikehendaki polis ketika sidang media khas berkenaan beberapa isu semasa di Bukit Aman hari ini. -Foto Bernama
Huzir Mohamed (kiri) menunjukkan gambar beberapa individu daripada 'Gang Rusa Boy' yang dikehendaki polis ketika sidang media khas berkenaan beberapa isu semasa di Bukit Aman hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai 'Geng Rusa Boy' yang aktif mengedar dan memproses dadah sejak enam tahun lalu, tumpas dalam serbuan di utara tanah air pada September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kumpulan yang diketuai seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Rusa Boy berusia 39 tahun dianggotai kira-kira 40 orang dan aktif di daerah Sungai Petani, Kedah dan negeri sekitarnya.

"Selain terlibat mengedar dan memproses dadah, geng ini juga terlibat dalam jenayah kekerasan, senjata berbahaya serta senjata api.

"Modus operandi suspek ialah mendapatkan bekalan 'heroin base' dari Thailand sebelum dibawa ke makmal haram di Pulau Pinang untuk pemprosesan. Dadah yang siap diproses kemudian akan dihantar ke stor haram, lalu diedar suspek yang berperanan sebagai tokan dan 'runner'," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman.

Huzir berkata, polis telah menahan lima ahli geng terbabit dan merampas satu tong plastik berisi dadah jenis heroin seberat kira-kira 12.52 kilogram (kg) bernilai RM112,000 yang ditanam dalam tanah pada September lalu.

Malah, katanya, geng berkenaan juga dipercayai pernah membunuh salah seorang ahli mereka kerana dikatakan membocorkan maklumat kegiatan kumpulan terbabit.

"Selain itu, pada tahun 2016, seorang lelaki maut ditetak kerana menjual dadah di kawasan Geng Rusa Boy," katanya.

Susulan itu, Huzir berkata, sepasukan anggota JSJ Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bertindak menahan seramai 26 suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 39 tahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lapan lagi ahli geng berkenaan kini masih diburu, manakala lima yang lain berada dalam penjara.

"Siasatan juga mendapati terdapat ahli geng yang telah dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli Geng 35 Sungai Petani," katanya.

Beliau berkata, suspek terlibat juga akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.