X

Kindly register in order to view this article
!

Gerakan gesa henti berebut jadi PM

Tean Seng (duduk, tengah) ketika sidang akhbar bersama pimpinan Gerakan Perak di Wisma Gerakan Perak di sini hari ini.
A
A

IPOH - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Perak meminta mana-mana pemimpin yang berhasrat menjadi perdana menteri ketika ini menghentikan niat mereka memandangkan agenda mengawal wabak Koronavirus (Covid-19) lebih besar.

Pengerusinya, Datuk See Tean Seng berkata, agenda dan cita-cita peribadi pemimpin tertentu harus diketepikan untuk bersama-sama petugas barisan hadapan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya melihat kerajaan sedia ada perlu dikekalkan biarpun kedudukan begitu rapuh sehinggalah penularan Covid-19 ini berjaya diatasi dan ekonomi dapat dipulihkan.

"Sekarang bukan masa berebut nak jadi perdana menteri. Ketika ini, semua kena bersatu termasuk ahli politik. Semua pemimpin politik perlu berkongsi idea untuk membendung masalah yang dihadapi dan menggunakan kepakaran masing-masing untuk memulihara ekonomi negara.

"Jika dilaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika ini pun, rakyat tidak akan berani turun mengundi kerana virus ini masih ada dalam kalangan komuniti. Sudah tentulah kestabilan belum tentu terjamin apabila rakyat tidak ramai yang turun mengundi," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Wisma Gerakan Perak di sini hari ini.

Tean Seng berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sepatutnya menjadi pengajaran buat ahli politik untuk meredakan keadaan dan suasana bagi mengelakkan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini terus bertambah.

Katanya, kepentingan nyawa manusia mesti menjadi keutamaan berbanding kuasa untuk memerintah kerana negara akan berdepan lebih banyak krisis jika virus ini tidak dibendung segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi sindir pihak utamakan agenda politik

Beliau berkata, semua sepatutnya akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya perbalahan politik ini dihentikan segera supaya fokus boleh diberikan kepada usaha untuk memulihkan negara.

Dalam pada itu, Tean Seng berkata, susulan titah Yang di-Pertuan Agong itu, Gerakan sudah menggerakkan kempen menandatangani petisyen secara dalam talian bagi menuntut semua pihak supaya akur dengan titah Seri Paduka.

Menurutnya, orang ramai digesa untuk turut sama menyokong petisyen berkenaan dengan sasaran 500,000 seluruh negara.

Katanya, hasil petisyen itu akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai menyokong titah Seri Paduka untuk menghentikan sebarang perbalahan politik demi kebaikan negara.

Beliau berkata, rakyat di bawah sendiri sudah menyampah dengan situasi politik yang sedang berlaku kerana fokus terhadap memulihkan negara tidak menjadi keutamaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!