Ketua jabatan diminta patuh arahan bekerja dari rumah: Cuepacs

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa semua ketua jabatan supaya mematuhi arahan keberadaan kakitangan di pejabat pada tahap maksimum sebanyak 30 peratus dalam usaha membendung penularan Covid-19 ketika ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, perkara itu merujuk kepada arahan kehadiran bertugas yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Labuan dan Sabah.

“Pihak Cuepacs berharap semua ketua jabatan di perkhidmatan kerajaan peringkat negeri, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan mengikut langkah yang sama iaitu melaksanakan langkah Bekerja Dari Rumah (BDR).

“Dalam hal ini, ketua jabatan perlu memastikan semua kakitangan peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak diperlukan berada di lapangan atau pejabat supaya dijadualkan untuk BDR.

“Langkah ini boleh dilakukan sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa supaya kehadiran di pejabat dapat dioptimumkan pada kadar kurang daripada 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, penetapan kakitangan yang perlu BDR juga harus diberikan keutamaan kepada kakitangan yang memerlukan seperti mempunyai anak kecil, pasangan bertugas sebagai frontliner atau pasangan yang bekerja di sektor swasta dan perlu bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berlangsung.

“Ketua jabatan juga perlu membuat penyusunan tugas mengikut kumpulan yang akan BDR dan kumpulan yang akan bertugas di lapangan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas sepanjang tempoh PKPB ini.

“Penggiliran untuk kumpulan BDR dan kumpulan yang akan bertugas di lapangan boleh dilakukan mengikut keperluan jabatan masing-masing agar tidak memberi kesulitan kepada kakitangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Adnan berkata, pihaknya yakin sebahagian besar kakitangan awam tidak berhadapan masalah untuk BDR memandangkan perkara berkenaan sudah dilaksanakan pada Mac lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia terbukti berkesan.

Dalam masa sama, beliau berkata, Cuepacs juga yakin pelaksanaan BDR yang akan mengurangkan sehingga 70 peratus kakitangan di lapangan atau pejabat tidak akan menjejaskan perkhidmatan dan penyampaian jabatan dan agensi kerajaan kepada rakyat.

Katanya, pihaknya juga menasihatkan agar masyarakat menyusun jadual mereka sekiranya perlu berurusan di pejabat-pejabat kerajaan bagi mengelakkan berlaku kesesakan.

“Keutamaan perkhidmatan awam ketika ini adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan dalam masa yang sama memutuskan rantaian penularan Covid-19.

"Semua pihak harus berganding bahu dalam memastikan usaha membangunkan semula ekonomi negara dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.