Cathay Pacific umum pengurangan 8,500 pekerja

Cathay Pacific Airways Limited yang berpusat di Hong Kong pada Rabu mengumumkan untuk mengurangkan sekitar 8,500 pekerja.
Cathay Pacific Airways Limited yang berpusat di Hong Kong pada Rabu mengumumkan untuk mengurangkan sekitar 8,500 pekerja.
A
A
A

HONG KONG - Cathay Pacific Airways Limited yang berpusat di Hong Kong pada Rabu mengumumkan untuk mengurangkan sekitar 8,500 jawatan merangkumi kira-kira 24 peratus daripada 35,000 jumlah pekerjanya, lapor agensi berita Xinhua.

Daripada 8,500 jawatan, sekitar 5,300 pekerja di Hong Kong akan diberhentikan pada minggu-minggu akan datang, dan kira-kira 600 pekerja di luar Hong Kong kemungkinan terjejas tertakluk kepada peraturan tempatan.

Selebihnya 2,600 jawatan yang akan dihapuskan belum diputuskan, ia disebabkan inisiatif pengurangan kos dalam beberapa bulan terakhir termasuk pembekuan pengambilan pekerja dan penutupan beberapa pangkalan tertentu luar negeri, kata syarikat itu.

Cathay Dragon, syarikat penerbangan milik penuh Cathay Pacific, akan menghentikan operasinya mulai Rabu. Berikutan itu, kebenaran pengawalseliaan sebahagian besar laluan udara Cathay Dragon akan dikendalikan oleh Cathay Pacific dan Hong Kong Express Airways Limited, anak syarikat milik penuh syarikat tersebut.

Anak kapal dan juruterbang Cathay Pacific yang berpangkalan di Hong Kong akan diminta untuk bersetuju dengan perubahan dalam syarat perkhidmatan mereka, antara lain, menyesuaikan imbuhan dengan produktiviti dan meningkatkan daya saing pasaran.

Penyusunan semula akan menelan belanja sekitar 2.2 bilion dolar Hong Kong (sekitar AS$283 juta), dibiayai oleh syarikat melalui sumber dalamannya.

Syarikat itu berkata, industri penerbangan berhadapan cabaran besar akibat pandemik Covid-19, dengan masa depannya yang masih tidak menentu dan pemulihannya juga jelas perlahan. Berdasarkan jangkaan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, perjalanan penumpang tidak akan kembali ke tahap pra-Covid-19 sehingga 2024.

Pasukan pengurusan syarikat telah merumuskan keadaan paling optimis yang dapat diserapnya secara bertanggungjawab hanyalah pada 2021, syarikat akan beroperasi di bawah 50 peratus daripada jumlah penumpang yang dikendalikannya pada tahun 2019. (AS$1 bersamaan 7.75 HK dolar).- Bernama

Artikel Berkaitan: