Kerana Institusi Raja terbentuknya Malaysia hari ini

A
A

SHAH ALAM - Pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, Institusi raja yang ada sekarang adalah satu warisan yang wujud sejak beribu tahun dahulu.

Katanya , menurut catatan sejarah yang ditulis oleh pengembara-pengembara seperti Ibu Batuttah dan lain-lain, mereka telah mengatakan bahawa pemerintahan Raja Melayu telah bermula di Yunan, selepas itu di Champa, Segenting Kra, Srivijaya, Majapahit, Melaka Aceh , Brunei dan semua kerajaan di alam Melayu atau kepulauan Melayu.

“Kita mempunyai berpuluh kerajaan Melayu yang menggunakan raja sebagai ketua negara, negeri atau ‘kingdom’ mereka.

Bagi saya konsep institusi raja ini boleh dikatakan sebagai satu institusi pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Melayu adalah suatu yang menjadi tradisi , masyarakat atau rumpun bangsa Melayu di seluruh alam Melayu yang meliputi dari tanah besar sebahagian Asia Tenggara dan juga kepulauan-kepulauan dan institusi raja-raja ini institusi yang diterima oleh rakyat Melayu.

Kalau kita baca sejarah Melayu, bahawa raja dan rakyat ini sebenarnya adalah dua institusi yang saling bekerjasama dan identiti ini akhirnya membentuk satu unit politik atau pentadbiran yang menggunakan raja sebagai ketuanya.

Dalam sejarah Melayu ada nyatakan sejarah peristiwa Lemang Demar Daun bersama dengan Sang Sapurba yang berakad berjanji bahawa raja dan rakyat adalah bersama menguruskan negara dan rakyat bersetuju menerima raja dan begitu sebaliknya, selagi raja tidak zalim, kalau raja zalim baginda akan disanggah.

Tetapi rakyat mendaulatkan atau mempertuankan raja sebagai ketua mereka, maknya raja itu adalah ketua negara, dan sistem perkataan 'Kerajaan' itu pun berasal daripada 'ke' 'raja' 'an' jadi maknanya setiap kerajaan Melayu itu mesti ada raja sebagai ketua.

Ambil contoh sistem Tok Batin , Orang Asli mereka tidak pakai raja maknanya konsep raja ini menggambarkan satu sistem pemerintahan yang lebih kompleks yang lebih mempunyai peraturan, perundangan, dan adat istiadatnya yang dilembagakan sebagai satu pemerintahan yang diterima oleh semua orang dan raja sebagai ketuanya.

Sebab itu bila kita cakap mengenai institusi raja pada hari ini Raja Berpelembagaan, sebelum itu kita telah ada raja mempunyai kuasa mutlak, oleh itu mutlak membawa makna kata-kata raja adalah undang-undang.

Kalau kita lihat, sejarah Melayu telah menunjukkan bahawa Sultan Muhammad Melaka yang mengasaskan kerajaan Melaka telah memberi peraturan dan adat istiadat dan juga perkara yang membezakan antara raja dan seorang rakyat, dan rakyat menggunakan konsep 'Daulat Tuanku' sebagai meletakan raja diatas rakyat, tetapi kita mesti ingat rakyat menerima raja selagi raja itu ‘ada’, dan jika dia tiada dia akan dikeluarkan.

Contoh Raja Muhammad yang ke Pahang dan menjadi Sultan Pahang yang pertama dan kita dapati juga raja boleh dibawa ketempat lain untuk menjadi raja tetapi bila sesorang raja ditolak maka penganti itu akan naik jadi sultan.

Bagi saya sistem ini adalah satu sistem yang jelas dan terang, dan menjadi tradisi pemerintahan kita sejak dahulu.Sebab itu kita ada sultan, agong dan pemerintahan.

Rakyat kena faham sajarah raja adalah panjang dan dia telah dimasukan dalam sejarah negara.Saya mahu ingatkan bahawa sebelum kita merdeka kuasa mutlak raja berlaku walaupun di Terengganu tidak berlaku.

Pada masa dahulu mutlak sangat jelas tetapi bila kita sudah merdeka kita sudah mempunyai perlembagaan, jadi kuasa raja telah diikat dengan perlembagaan.

Meniti hari, kalau kita baca buku sejarah dahulu kita rasa raja sebagai boneka tapi bila kita baca perlembagaan saya lihat British sebenarnya tidak zalim seperti apa yang kita sangka, British memang mengeksploitasi ekonomi negara dengan membuka ladang untuk orang lain dan biarkan orang Melayu, orang lain datang sini bermaharajalela, buka kebun , dapat tanah yang bagus, buka lombong dan sebagainya akhirnya kita dapati mereka makmur, tapi British memang berdosa dari segi itu, dia membuka untuk orang lain kita jadi miskin orang lain jadi kaya.

Tetapi dari segi raja-raja kita, British telah buat tanggungjawab besar bahawa dia tidak buang institusi raja.

Jadi negeri-negeri yang mempunyai raja tidak dijajah mereka dinaungi dan kita tidak boleh lari daripada penggunaan raja-raja Melayu meskipun hari ini mereka sudah jadi raja Malaysia, dan dari segi sejarah raja Melayulah yang memberi kewarganegaraan yang British minta supaya raja-raja Melayu memberi kewarganegaraan.

Dan dengan cara itulah kita dapati 1.5 juta atau hampir 2 juta orang yang dulu datang ke sini menjadi warganegara melalui kelahiran, ada juga permohonanan.

Jadi bagi saya raja-raja Melayu memainkan peranan yang penting, saya bagi gambaran ini agar orang kini yang tidak terlalu melihat sejarah sebagai paksi kepada kenegaraan kita hari ini.

Raja-Raja Melayu telah memainkan peranan yang besar berkorban menerima orang lain menjadi rakyatnya selama ini rakyatnya adalah orang Melayu dan Orang Asli.

Dan dengan persetujuan raja-raja Melayulah Persekutuan Tanah Melayu dibentuk kalau raja-raja Melayu tidak turun tanda tangan untuk membentuk Persekutuan Tanah Malayu itu pada 1 Februari 1948 maka kita tiada Persekutuan Malaysia pada hari ini jadi bagi saya peranan raja-raja Melayu perlu dilihat.

Bagi saya mereka punca kuasa, punca kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang moden mereka adalah tradisi sejarah yang telah kita modenkan.