Tindakan tegas kepada pembekal makanan jika cuai

Mara memandang serius perkara itu dan sedang menyiasat bagi mengenal pasti dengan tepat punca berlakunya kejadian itu.
Mara memandang serius perkara itu dan sedang menyiasat bagi mengenal pasti dengan tepat punca berlakunya kejadian itu.
A
A
A

JELEBU - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengambil tindakan tegas terhadap pembekal makanan jika wujud unsur kecuaian sehingga menyebabkan 207 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Jelebu mengalami keracunan makanan semalam.

Mara dalam satu kenyataan di sini semalam memaklumkan, tindakan itu akan diambil sekiranya terbukti wujud kecuaian mereka dalam menyediakan makanan bermasak selain kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam penyediaannya.

Menurutnya, Mara memandang serius perkara itu dan sedang menyiasat bagi mengenal pasti dengan tepat punca berlakunya kejadian itu.

"Mara juga mengikuti arahan Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu untuk menutup Dewan Selera MRSM Kuala Klawang itu selama dua minggu bagi proses pembersihan dan siasatan selanjutnya.

"Bagi memastikan kebajikan dan keperluan pelajar dapat dipenuhi sepanjang tempoh penggantungan ini, perkhidmatan penyediaan makanan sementara akan dilaksana oleh pembekal perkhidmatan makanan bermasak yang lain," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Mara dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu akan terus memantau situasi berkenaan secara berterusan bagi memastikan keadaan kesihatan dan kebajikan pelajar diberi perhatian dan dalam keadaan terkawal.

"Sehubungan itu, Mara meminta agar ibu bapa agar tidak perlu bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seramai empat daripada 207 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang yang mengalami keracunan makanan sejak awal pagi semalam dimasukkan ke Hospital Jelebu di sini.

Artikel Berkaitan:

Kesemua pelajar perempuan berkenaan berada dalam keadaan stabil yang mana dua daripada mereka merupakan pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua, manakala dua lagi masih belum dapat dipastikan dan masing-masing dijangka dibenar keluar hospital hari ini.