MAIK saran solat hajat, doa selamat hindari Covid-19

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyarankan semua masjid di negeri ini melaksanakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Jumaat bagi memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah perkenan agar masjid negeri, bandar dan jajahan mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon pertolongan serta perlindungan ALLAH SWT daripada wabak Covid-19 di Kelantan.

“Sehubungan dengan itu, MAIK mengarahkan masjid negeri, bandar dan jajahan untuk mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Jumaat pada 23 Oktober 2020 bersamaan 6 Rabiul Awal 1442H.

"Semua masjid di negeri ini juga diingatkan agar mematuhi semua prosedur operasi standard pencegahan wabak Covid-19 yang telah dikeluarkan oleh MAIK sebelum ini.

“Saya mendoakan agar wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh ALLAH SWT,” katanya.

Dalam perkembangan lain, semalam Kelantan kembali mencatatkan satu kes terbaharu Covid-19 selepas empat hari tiada kes dicatatkan.

Jabatan Kesihatan Kelantan memaklumkan ia merupakan kes kontak rapat terhadap kes sah yang dilaporkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan: