Bekas pengumpul dana Trump mengaku bersalah melobi untuk 1MDB

Jho Low didakwa memindahkan dan menyembunyikan sebahagian daripada dana 1MDB. (Kanan: Elliott Broidy )
Jho Low didakwa memindahkan dan menyembunyikan sebahagian daripada dana 1MDB. (Kanan: Elliott Broidy )
A
A
A

WASHINGTON - Bekas pengumpul dana Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku bersalah semalam kerana melobi secara haram supaya kerajaan AS menggugurkan kesnya terhadap skandal rasuah 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penghantaran pulang seorang bilionair China ke negaranya.

Elliott Broidy, 63, didakwa awal Oktober lalu dengan satu dakwaan berkonspirasi untuk bertindak sebagai ejen asing tidak berdaftar selepas dituduh bersetuju mengambil berjuta-juta dolar bagi melobi pentadbiran Trump.

Ketika kejadian, Broidy ialah Timbalan Pengerusi Kewangan Jawatankuasa Parti Republikan Kebangsaan selepas berjaya menjadi pengumpul dana untuk kempen Trump pada Pilihan Raya Presiden AS.

Pendakwaan itu menyatakan beliau diambil bekerja pada 2017 oleh seorang rakyat asing dipercayai warga Malaysia iaitu Low Taek Jho bagi menekan para pegawai AS supaya menamatkan siasatan terhadap satu skandal melibatkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Skandal tersebut melibatkan kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM18.65 bilion) daripada dana pelaburan 1MDB.

Taek Jho atau Jho Low juga didakwa memindahkan dan menyembunyikan sebahagian daripada dana yang dicuri itu.

Usaha melobi itu adalah juga cuba mengatur satu permainan golf antara Najib dengan Trump pada September 2017.

Bagaimanapun, permainan golf itu tidak pernah berlaku dan Jho Low didakwa pada 2018 kerana peranannya dalam menyeleweng berbilion-bilion dolar wang daripada 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Sebagai tambahan, pada Mei 2017, Jho Low juga memperkenalkan Broidy dengan seorang pegawai keselamatan China dan mereka membincangkan hasrat Beijing untuk membawa pulang seorang taikun dari negara tersebut yang dikenali sebagai Guo Wengui iaitu seorang ahli perniagaan ternama.

Pendakwaan itu menggambarkan bekas pengumpul dana itu kuat melobi Rumah Putih, Jabatan Keadilan AS dan penguat kuasa undang-undang bagi pihak China.

"Kes ini menunjukkan bagaimana kerajaan asing dan individu yang diupah untuk memenuhi agenda mereka di AS dengan menyembunyikan diri di belakang proksi yang berpengaruh," kata Pemangku Penolong Peguam Negara, Brian Rabbitt dalam satu kenyataan.

Broidy berdepan dengan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda sebanyak AS$6.6 juta (RM27.36 juta), iaitu jumlah hasil yang diperolehnya menerusi tugas melobi untuk Jho Low itu, kata Jabatan Keadilan AS. - AFP