X

Kindly register in order to view this article
!

'Anwar berkredibiliti jadi Perdana Menteri'

Tyra Hanim Razali
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap dengan pendirian mahukan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri dan membentuk kerajaan baharu.

Ketua Srikandi PKR Kelantan, Tyra Hanim Razali berkata, pendirian itu adakah inti pati sejak awal perjuangan PKR.

“Isu mengangkat Datuk Seri (Anwar) sebagai PM bukan bermaksud taksub kepada beliau. Ini adalah inti pati sejak dari awal perjuangan.

“Kami ingin melihat negara ini berubah ke arah yang lebih baik dan kebetulannya, pada waktu ini tidak ada sosok lain yang mampu memimpin Malaysia ke arah itu melainkan beliau.

“Beri peluang kepada beliau memimpin negara agar rakyat dapat merasai perubahannya. Mengangkat beliau adalah demi rakyat dan negara, bukan atas kepentingan tertentu,” katanya dalam program Wacana Sinar Harian edisi ke-203 bertajuk ‘Adakah sekarang masa terbaik tukar kerajaan? yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf malam tadi.

Antara panelis yang terlibat ialah Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Penolong Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Asuma Mohamed Sali, manakala Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Katanya, PKR mahu mengembalikan mandat rakyat yang memilih Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengetuai kepimpinan negara.

“Tidak wujud soal perebutan kuasa kerana ikut mandat PRU-14, ia diberikan PH dan PKR mempunyai kerusi terbanyak ketika itu.

“Ini yang kita perjuangkan selama ini namun ia terhenti apabila perjanjian selama ini dikhianati yang mana ada beberapa Ahli Parlimen PH berpaling tadah. Jadi kita mahu perjuangkan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya.

Ditanya dakwaan PKR sanggup bekerjasama dengan segelintir pemimpin UMNO semata-mata mahu meraih majoriti untuk membentuk kerajaan baharu, Tyra Hanim berkata, ia adalah dinamik baharu dalam politik,

“Mahu tidak mahu kita perlu (bekerjasama). Malah sebelum ini kita akur bila Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai PH walaupun banyak suara-suara yang tidak bersetuju.

“Kita tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk individu daripada UMNO dengan syarat kerajaan yang dibentuk mempunyai akauntabaliti dan ketelusan serta berusaha untuk memperbaiki ekonomi dan institusi kenegaraan seperti yang termaktub dalam buku harapan,” katanya.

Katanya, Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Interim bukan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik.

“Apa perbezaan Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Anwar yang disokong oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO. Kalau ada Kerajaan Perpaduan bagaimana kita hendak menilai akauntabiliti dan ketelusan (transparency) kepada kerajaan ini?, soalnya.

[LIVE] Adakah sekarang masa terbaik tukar kerajaan?

Rakyat Malaysia kini sudah mula rimas dengan situasi politik yang dilihat semakin berantakan. Sejak 13 Oktober lalu, susulan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, mereka dilihat semakin keliru dengan 'drama-drama' yang berlaku setiap hari. Dalam pada masa sama, gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang melanda dan belum ada tanda penurunan juga antara sebab rakyat berang kerana ahli politik negara terus-terusan ‘berpolitiking’ tanpa memikirkan keselamatan mereka. Ada berpendapat, ini masa terbaik PRU diadakan. Namun ramai juga membangkang. Jadi bilakah masa terbaik?

Posted by Sinar Harian on Tuesday, October 20, 2020


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!