Buruh mengaku tidak bersalah merogol

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang buruh pasang paip mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang wanita berusia 42 tahun pada November tahun lalu.

Muhammad Saifullah Mat Hassan, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa merogol wanita berkenaan di sebuah rumah di Taman Alam Megah di sini pada jam 10.45 malam, 22 November 2019.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian mencadangkan kadar ikat jamin terhadap tertuduh ditetapkan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

“Tertuduh juga dilarang untuk berjumpa atau mendekati mangsa selain perlu melaporkan diri di balai polis terdekat, sebulan sekali sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberi kadar jaminan yang rendah kerana tidak berkemampuan malah perlu menyara ibu yang sakit.

Rihaida menawarkan ikat jamin kepada tertuduh sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta perlu mematuhi syarat tambahan yang dikenakan pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 15 Disember depan sebagai sebutan semula kes.