Lebih 700,000 pekerja wajib jalani BDR bermula esok


MOHAMED AZMIN
MOHAMED AZMIN
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 776,135 pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan diwajibkan untuk menjalani dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula esok selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Walau bagaimanapun Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan kehadiran sebilangan kecil pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersetuju untuk membenarkan maksimum 10 peratus pekerja berada di pejabat.

"Ia merangkumi antaranya tugasan yang melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi maklumat (ICT) untuk berada di pejabat yang dihadkan selama empat jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang, tiga hari seminggu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini.

"Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Beliau yang juga Menteri MITI berkata, sistem pangkalan data Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) mendapati, jumlah pekerja yang berdaftar dalam sektor pembuatan,perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor serta Putrajaya adalah 3.1 juta orang.

"Mengambil tanggungjawab bersama untuk melindungi kesihatan rakyat dan pekerja, MITI akan segera melaksanakan keputusan MKN supaya pihak industri memperkenalkan dasar BDR sebagai langkah untuk mengurangkan risiko

penularan jangkitan pandemik Covid-19 terutamanya di kawasan yang sedang menjalani PKPB," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mengarahkan pekerja di peringkat pengurusan dan pengawasan dalam sektor awam dan swasta di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah bekerja dari rumah berkuat kuasa 22 Oktober ini.

Keputusan itu katanya dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurangkan pergerakan pekerja bagi mengekang penularan Covid-19.

Siaran Media - MITI bersetuju untuk membenarkan maksimum 10 % pekerja merangkumi antaranya tugasan yang melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT untuk berada di pejabat yang dihadkan bermula jam 10 pagi sehingga 2 ptg untuk 3 hari seminggu. pic.twitter.com/QQgANoEZ6i

— Mohamed Azmin Ali • (@AzminAli) October 21, 2020