X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO bukan ‘king maker’

Asuma Mohamed Sali
A
A

SHAH ALAM - UMNO bukan ‘king maker’ sebenar dalam percaturan politik bagi sesiapa yang mahukan kerusi Perdana Menteri.

Penolong Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Asuma Mohamed Sali turut menolak dakwaan ada kalangan Ahli Parlimen UMNO menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Ini cuma desas-desus, tidak ada dokumen rasmi mengatakan ada kalangan Ahli Parlimen UMNO menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri. Saya tidak mahu UMNO jadi ‘king maker’ tetapi ‘king’.

“Pada saya ini hanyalah cubaan untuk menggambarkan kononnya UMNO berpecah-belah dan mempunyai kem masing-masing. Tetapi realitinya UMNO sudah lama meraikan kepelbagaian pendapat dan ini bukan benda baru. Tidak timbul soal perpecahan seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Harian edisi ke-203 bertajuk ‘Adakah sekarang masa terbaik tukar kerajaan? yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf malam tadi.

Antara panelis yang terlibat ialah Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Ketua Srikandi PKR Kelantan, Tyra Hanim Razali manakala Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Menurut beliau, kemelut politik yang berlaku kini bukan disebabkan UMNO, sebaliknya berpunca daripada pergolakan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak nampak ada asas yang mengatakan UMNO menyokong Anwar semata-mata untuk melepaskan individu yang kini berdepan tuduhan di mahkamah. Persepsi ini dibuat oleh pihak yang cuba menangguk di air keruh.

“Kemelut berlaku bukan disebabkan UMNO atau Barisan Nasional (BN). Bila terjadinya situasi sebegini, Ahli Parlimen UMNO mahu adakan Pilihan Raya Umum (PRU) kerana merasakan mandat perlu diserahkan kembali kepada mereka untuk memilih siapa kerajaan yang mereka mahukan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19) semakin merebak, ia bukan masa terbaik untuk mengadakan PRU.

“Kita tidak boleh mengambil sebarang risiko dengan memperjudikan nyawa rakyat. Kita tahu kerajaan tidak mampu untuk melakukan ‘lockdown’ sekali lagi kerana banyak perkara yang perlu diperhalusi serta kesannya kepada rakyat serta ekonomi negara.

“Justeru saya menggesa semua ahli politik, inilah masa untuk kita sama-sama bergabung dan bersatu hati dengan rakyat untuk melandaikan lekuk Covid-19 ini. Kita berdepan dengan misi paling penting untuk menghapuskan wabak ini,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Interim perlu ditubuhkan untuk meleraikan kemelut politik supaya tidak berpanjangan, beliau dengan tegas menolak cadangan itu.

“Kerajaan sedia ada masih relevan namun jika ada yang mahukan perubahan kerajaan, ia sepatutnya melalui PRU. Tetapi itu bukan keutamaan kerana Covid-19 kini menjadi isu lebih penting.

“Jika lekuk Covid-19 dapat dilandaikan, baru kita boleh fikir soal PRU15,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!