Tujuh jam selesai kes curi pacuan empat roda

Pacuan empat roda yang dilaporkan hilang berhampiran Masjid Muhammadi, Rantau Panjang berjaya ditemui kembali selepas tujuh jam hasil kerjasama erat antara polis dengan Aksem. Gambar kecil: Mohamad Roy Suhaimi Sarif
Pacuan empat roda yang dilaporkan hilang berhampiran Masjid Muhammadi, Rantau Panjang berjaya ditemui kembali selepas tujuh jam hasil kerjasama erat antara polis dengan Aksem. Gambar kecil: Mohamad Roy Suhaimi Sarif
A
A
A

PASIR MAS - Kerjasama erat antara polis dengan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan berjaya menemui semula sebuah pacuan empat roda yang dicuri di tepi jalan berhampiran Masjid Muhammadi, Rantau Panjang pada Isnin lalu.

Pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero ditemui semula tujuh jam kemudian selepas pemiliknya membuat laporan polis sejurus menyedari kehilangan kenderaan itu pada jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, terdahulu sebelum itu pada jam 7.30 pagi anggota Aksem Kelantan telah menahan sebuah kenderaan jenis Honda Civic yang dinaiki oleh dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu telah menemui satu peket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang diletakkan di pintu belakang sebelah kiri.

"Pemeriksaan yang dijalankan turut menemui gambar pacuan empat roda yang dipercayai mempunyai kaitan kes curi telah ditemui dalam telefon bimbit milik salah seorang suspek," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek berusia 46 dan 37 tahun itu positif dadah jenis methampethamine.

Katanya, selain itu kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau.

"Berikutan penangkapan kedua-dua lelaki itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas telah melakukan serbuan di Taman Kenerak pada jam 12.45 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

"Selain merampas sebuah pacuan empat roda, polis turut menahan tiga lelaki termasuk seorang pemilik rumah masing-masing berusia antara 25 hingga 28 tahun," katanya.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, kesemua suspek yang ditahan itu positif dadah jenis methampethamine dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati dua suspek yang dicekup anggota Aksem Kelantan mengaku telah mencuri pacuan empat roda itu dan kemudiannya menghantar kenderaan tersebut ke sebuah rumah di Taman Kenerak.

"Kedua-dua suspek (yang ditangkap anggota Aksem Kelantan) telah mengaku mencuri kenderaan itu dengan cara mengumpil pintu dan kemudian menyambungkan wayar pada bahagian suis.

"Bagaimanapun, dua lelaki yang berada di dalam rumah berkenaan tidak mengaku terlibat dalam kes tersebut di mana semasa serbuan mereka kebetulan berada di rumah berkenaan," katanya.

Katanya, pemilik rumah berkenaan juga tidak mengaku terlibat dalam kes mencuri kenderaan dan hanya mengesahkan bahawa pacuan empat roda tersebut telah dihantar ke rumahnya oleh kedua-dua suspek itu.