X

Kindly register in order to view this article
!

KPM teliti cadangan tempatkan calon SPM, STPM di asrama

Mohd Radzi mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama Jabatan Pendidikan Negeri yang berada di bawah pelaksanaan PKPB di Putrajaya semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti cadangan untuk menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sabah yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19) di asrama.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia susulan maklum balas yang diterima daripada ibu bapa bahawa anak mereka memilih untuk belajar secara bersemuka dengan guru.

“Hampir kesemua ibu bapa kepada calon SPM dan STPM meminta anak mereka kembali ke sekolah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah membangkitkan isu akses internet yang mereka hadapi di negeri berkenaan.

Mohd Radzi (kanan) memaklumkan KPM meneliti cadangan untuk menempatkan pelajar di Sabah yang akan menduduki peperiksaan di asrama bagi sekolah yang terpaksa ditutup akibat Covid-19. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Radzi (kanan) memaklumkan KPM meneliti cadangan untuk menempatkan pelajar di Sabah yang akan menduduki peperiksaan di asrama bagi sekolah yang terpaksa ditutup akibat Covid-19. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Mereka meminta kami mencari kaedah yang terbaik bagi membantu mereka mendepani isu tersebut.

“Selain tidak mempunyai akses internet yang baik, pelajar juga mempunyai kekangan tiada peranti untuk meneruskan pembelajaran di rumah.

Menurutnya, buat masa ini guru-guru mengambil inisiatif menyediakan modul bagi membolehkan pelajar mengulangkaji pelajaran di rumah.

“Modul tersebut ditempatkan di stesen tertentu untuk diambil oleh ibu bapa dan dibawa ke rumah sebelum diserahkan semula kepada guru untuk disemak,” katanya.

Mohd Radzi berkata, walaupun Sabah berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 26 Oktober ini, terdapat pelajar yang memilih untuk terus berada di asrama sekolah kerana persekitaran yang lebih kondusif.

Menurutnya, sebelum membuat keputusan untuk menempatkan calon SPM dan STPM di asrama, kapasiti serta jenis asrama akan diambil kira.

“Di Sabah ada banyak asrama, antaranya asrama harian dan desa, jadi beberapa aspek akan diambil kira,” kata beliau.

Mohd Radzi sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas secara dalam talian bersama JPN yang terlibat dengan PKPB.

Bagaimanapun, menurutnya, situasi berbeza di Lembah Klang yang sedang menjalani pelaksanaan PKPB.

“Di Selangor, banyak PPD memaklumkan bahawa pembelajaran di rumah boleh dilaksanakan kerana akses internet yang mudah.

KKM meneliti cadangan untuk menempatkan calon SPM dan STPM di Sabah yang terjejas akibat Covid-19 di asrama susulan maklum balas ibu bapa mengatakan bahawa anak mereka memilih untuk belajar secara bersemuka dengan guru. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
KKM meneliti cadangan untuk menempatkan calon SPM dan STPM di Sabah yang terjejas akibat Covid-19 di asrama susulan maklum balas ibu bapa mengatakan bahawa anak mereka memilih untuk belajar secara bersemuka dengan guru. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Namun, terdapat beberapa kawasan yang turut berdepan dengan masalah akses internet. Guru-guru juga menyediakan modul bagi tujuan yang sama," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kali ini KPM lebih bersedia meneruskan sesi pembelajaran di rumah ketika sekolah-sekolah ditutup berdasarkan pengalaman yang dilalui ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas mengenai penutupan sekolah, menurutnya, keputusan tersebut terletak dalam bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, sekolah di zon merah akan ditutup sekiranya ada jangkitan berlaku dalam komuniti dan ada kes positif koronavirus (Covid-19) di sekolah.

“Penutupan sekolah dibuat berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mempunyai kepakaran dan melakukan penilaian risiko.

“Penutupan sekolah selama tujuh hari dilakukan bagi memberi laluan kepada KKM untuk melakukan saringan dan pengesanan kontak, selain kerja-kerja nyahkuman dijalankan,” katanya.

Mohd Radzi berkata, sehingga kini sebanyak 2,601 sekolah yang berdaftar dengan KPM ditutup susulan pandemik Covid-19 yang melibatkan seramai 1.67 juta pelajar.

PKPB dilaksanakan di Sabah pada 13 Oktober lalu, manakala Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa pada 14 Oktober lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!