Komark bakal jadi pengeluar pelitup muka terakreditasi

Komark bakal menjadi pengeluar pelitup muka pembedahan pakai buang terakreditasi dan memiliki jenamanya sendiri.
Komark bakal menjadi pengeluar pelitup muka pembedahan pakai buang terakreditasi dan memiliki jenamanya sendiri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komark Mask (M) Sdn Bhd, yang merupakan subsidiari Komarkcorp Bhd (Komark) bakal menjadi pengeluar pelitup muka pembedahan pakai buang terakreditasi dan dijangka meningkatkan tahap pengeluaran serta memiliki jenamanya sendiri.

Komark menerima akreditasi ISO daripada pengawal selia sebagai pengesahan bahawa premis, kemudahan dan standard pembuatannya menepati kehendak Sistem Pengurusan Kualiti Antarabangsa bagi Peranti Perubatan.

Syarikat itu merancang meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak dua kali ganda berbanding 3.5 juta pelitup muka sebulan ketika ini menerusi penambahan dua rangkaian mesin, manakala dua lagi dijangka siap dipasang pada Disember ini.

"Dengan akreditasi ISO termasuk pengeluaran Peralatan Perlindungan Diri (PPE), Komark juga merancang untuk mempelbagaikan pengeluaran termasuk PPE bagi meraih manfaat di atas peningkatan permintaan semasa produk itu disebabkan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia," kata Komark dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Kilang pengeluaran pelitup muka milik Komark di Cheras.
Kilang pengeluaran pelitup muka milik Komark di Cheras.

Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan pandemik Covid-19 dijangka mencecah paras baharu dalam tempoh beberapa bulan pada musim dingin akan datang, permintaan diunjurkan melonjak dengan ketara

Beberapa bulan lalu, Komark mengumumkan penerokaan bidang pengeluaran pelitup muka, dengan merancang mengeluarkan jenama sendiri bagi pasaran tempatan dan serantau termasuk menggunakan rangkaian operasinya di Thailand, Singapura serta Indonesia bagi memenuhi permintaan tinggi ketika ini.

Komark mengumumkan rancangannya untuk mewujudkan sehingga 30 barisan pengeluaran pelitup muka dalam tempoh 24 bulan akan datang, termasuk pelitup muka pembedahan tiga lapis dan pelitup muka KN95 dengan sasaran pengeluaran tahunan mencecah 522 juta unit pelitup muka tiga lapis dan 120 juta KN95.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Komark, Koh Chie Jooi berkata, perang dagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya dengan China, wujud keperluan mendesak ke atas pelitup muka bukan buatan China.

"Ia menyediakan peluang terbaik kepada kami untuk menjadi peserta global menerusi pelitup muka buatan Malaysia tanpa berkompromi dengan kualiti untuk dieksport ke negara Barat," katanya.

Beliau berkata, Komark juga akan meninjau segera pelaksanaan pengeluaran PPE untuk menambah kepelbagaian operasi pengeluarannya.