X

Kindly register in order to view this article
!

Sabah minta kerajaan Persekutuan salur lebih peruntukan

Jefrey (tiga dari kanan) melakukan tinjauan di kawasan Pekan Tenghilan yang terjejas akibat banjir semalam.
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jefrey Kitingan mahu kerajaan Persekutuan menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk pembangunan Sabah termasuk untuk menangani masalah banjir yang semakin teruk di negeri ini.

Beliau berkata, walaupun Sabah mempunyai kuasa untuk melaksanakan banyak perkara namun peruntukan bagi projek pembangunan utama masih terletak di bawah kerajaan Persekutuan.

"Jika kerajaan Persekutuan beri hak kewangan dan hasil, kita mungkin ada wang yang cukup untuk menyelesaikan masalah ini (banjir).

"Contohnya mengembalikan 40 peratus hasil Sabah kepada kerajaan negeri seperti yang tertera dalam Jadual 10, Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan. Kutipan cukai jualan lima peratus bagi petroleum serta berikan Sabah hak lima peratus pembayaran tunai seperti yang terkandung dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974.

"Wang tambahan itu akan menambahkan keupayaan kita untuk menangani masalah banjir. Jika tidak, selama-lamanya kita terpaksa meminta wang untuk menyelesaikan masalah kita," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jefrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata demikian bagi mengulas langkah yang perlu dilaksanakan kerajaan negeri bagi menangani masalah banjir di negeri ini.

Ia berikutan kejadian banjir yang dilaporkan semakin kerap berlaku di beberapa daerah seperti Tuaran dan Kota Belud setiap kali hujan lebat di kawasan terbabit.

Semalam, Jeffrey turut meninjau beberapa lokasi yang terjejas dengan banjir di Tuaran akibat hujan lebat berterusan di daerah itu.

Jeffrey berkata, beliau berpuas hati dengan kerja yang dilaksanakan bagi mengurangkan masalah banjir di bawah pelan komprehensif yang berjumlah RM3 juta oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau berkata, usaha perlu dilakukan secara menyeluruh agar masalah banjir kilat boleh ditangani.

Antara kawasan yang dilawati adalah Pekan Tenghilan yang terjejas teruk akibat banjir pada Isnin lalu.

Ini kali kedua pekan itu dilanda banjir kilat dalam bulan ini dan JPS akan melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca masalah tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!