Siapa ‘king’ sebenarnya?

Dalam setiap pembongkaran kes-kes berprofil tinggi, lazimnya ada sahaja anggota mahupun pegawai kanan pihak berkuasa yang ditangkap kerana terlibat.
Dalam setiap pembongkaran kes-kes berprofil tinggi, lazimnya ada sahaja anggota mahupun pegawai kanan pihak berkuasa yang ditangkap kerana terlibat.
A
A
A

BARU-BARU ini negara dikejutkan dengan berita seorang artis popular dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan hinggalah kepada penangkapan rangkaian sindiket penipuan melalui panggilan telefon yang turut mempunyai kaitan dengan sindiket perjudian dalam talian di Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan setakat ini seramai 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China telah ditahan.

Nama SPRM dalam masa beberapa minggu ini terus ‘harum’ apabila berjaya membekukan lebih RM80 juta daripada 730 akaun bank dan menyita wang tunai berjumlah RM5 juta hasil daripada kegiatan haram tersebut.

SPRM turut merampas sebanyak 23 kenderaan mewah pelbagai jenama dan motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan, malah ia turut dikaitkan dengan sindiket cuci wang kegiatan haram.

Tahniah atas kerja keras SPRM membongkar dan seterusnya melumpuhkan kartel yang mempunyai rangkaian di luar negara termasuk di China.

Tidak lupa juga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak memberi muka kepada sindiket berkenaan daripada berterusan beroperasi menipu mangsa yang tidak berdosa. Bayangkan mangsa kerugian besar sehingga ada yang seperti hilang harapan selepas wang simpanan yang digunakan untuk hari tua tergadai begitu sahaja.

Ada mangsa yang sanggup keluarkan duit Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan duit simpanan termasuk wang pencen kerana takut dikenakan tindakan ‘pihak berkuasa’, padahal itu semua hanyalah lakonan sindiket.

Namun, di sebalik kejayaan-kejayaan tersebut, integriti pihak berkuasa mula dipertikai kerana apabila disiasat, sindiket haram tersebut turut mendapat kerjasama dan pelindungan daripada ‘orang dalam’ sendiri menyebabkan mereka kononnya kebal daripada tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Korupsi

Dalam setiap pembongkaran kes-kes berprofil tinggi, lazimnya ada sahaja anggota mahupun pegawai kanan pihak berkuasa yang ditangkap kerana terlibat. Ia cukup mengambarkan korupsi dan penyalahgunaan kuasa itu memang benar berlaku.

Berbalik kepada isu scammer, ternyata sesiapa sahaja yang berteduh di bawah ‘payung besar’ sindiket itu pasti mendapat laba dan imbuhan yang besar. Bak kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan – mati itu pasti. Memang di dunia ini kita boleh terlepas, kita boleh hidup mewah hasil titik peluh orang lain, namun harus diingat bahawa doa orang teraniaya itu makbul.

Baru-baru ini penulis bertemu dengan sekumpulan individu yang menjadi mangsa pembelian rumah tidak wujud daripada syarikat seorang artis bergelar Datuk.

Kes itu telah dibawa ke mahkamah dan artis berkenaan diarah membayar semula wang yang telah diambil berjumlah RM4.5 juta, namun anehnya dia langsung tidak takut. Lebih memeranjatkan, artis itu akan menerbitkan sebuah filem tidak lama lagi. Lebih menjelikkan, artis itu boleh pula buat lagu dan klip video. Dia nampaknya tidak kisah dengan apa yang berlaku meskipun dikecam teruk oleh netizen.

Siapakah yang berada di belakang artis tersebut yang membuatkan seolah-olah dia kebal daripada tindakan undang-undang.

Duit sudah diambil dan setiap pembeli telah membayar antara RM50,000 hingga RM100,000 untuk seunit rumah, namun rumah yang dijanjikan tiada.

Penulis juga tertarik dengan video yang tular baru-baru ini apabila ada netizen yang sempat merekod perbualan dengan seorang scammer yang cuba mengenakannya.

Dalam rakaman itu, scammer tersebut mengaku bahawa bosnya yang bergelar Datuk Seri telah ditangkap dan yakin akan dibebaskan kerana kabelnya kabel besar. Dia juga sempat menuduh kerajaan yang membocorkan nombor telefon dan maklumat orang ramai.

Ia secara tidak langsung mengiyakan andaian netizen bahawa selama ini di belakang penjahat ada ‘king’ yang melindungi. Persoalannya, siapakah ‘king’ itu? Mengapa takut nak tangkap? Mungkin wujud ‘king’ dalam pihak berkuasa yang tugasnya menjaga ejen-ejen yang bekerja dengan scammer.

Penulis ‘tabik spring’ dengan cerita seorang pegawai pihak berkuasa yang sanggup mengingkari arahan ketuanya untuk melakukan operasi semata-mata mahu mengutip duit perlindungan daripada pusat hiburan tidak berlesen sebab dia tahu perbuatan itu jijik dan tidak bermaruah.

Jadi, kalau ‘king’ itu ramai, ia boleh menjadi ‘double king’ atau ‘triple king’, maka ramai lagilah penjahat di bawahnya. Siapa pun ‘king’ itu, mereka perlu ditangkap dan diberi hukuman setimpal!

* Izwan Rozlin ialah Ketua Meja Jenayah/Mahkamah Sinar Harian