Jangan ada yang tercicir ujian swab Covid-19

Kerajaan mewajibkan pekerja yang tinggal di kawasan zon merah menjalani ujian swab Covid-19 dengan kos akan ditanggung oleh Perkeso. Gambar kecil: Shazali Abu Mansor
Kerajaan mewajibkan pekerja yang tinggal di kawasan zon merah menjalani ujian swab Covid-19 dengan kos akan ditanggung oleh Perkeso. Gambar kecil: Shazali Abu Mansor
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan pekerja di kawasan berisiko penularan jangkitan Covid-19 membuat saringan ujian swab khususnya mereka yang tidak mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Profesor Kanan Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, perkara itu penting agar penularan wabak itu dapat dikawal demi jaminan kelangsungan ekonomi.

Katanya, ini juga mengambil kira kawasan Lembah Klang yang merupakan antara penggerak utama ekonomi negara kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Bagi pekerja kerajaan, kerajaan akan tanggung kos. Begitu juga dengan pekerja swasta yang ada caruman Perkeso. Ini tidak ada masalah.

"Namun bagaimana dengan mereka yang berisiko namun kos ujian swab tidak ditanggung? Jika mereka ini dijangkiti Covid-19 namun tidak disaring dan tidak kuarantin, siapa yang akan terima kesan?

"Sebab itu kerajaan perlu pastikan semua pekerja lakukan ujian swab walaupun kerajaan yang kena bayar kerana kebaikannya untuk orang lain," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Semalam, kerajaan memutuskan semua pekerja sektor awam dan swasta peringkat pengurusan serta pentadbiran dalam kawasan PKPB diarah bekerja di rumah mulai esok.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejuta pekerja bekerja dari rumah bermula Khamis ini

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan arahan tersebut berkuat kuasa sehingga pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat.

Arahan membabitkan sejuta pekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor itu dibuat berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 membabitkan pekerja pejabat termasuk sembilan kluster dari tempat kerja di negeri Selangor yang dilaporkan sehingga semalam.

Selain itu, pekerja yang tinggal di kawasan zon merah juga diwajibkan menjalani ujian swab Covid-19 dengan kos akan ditanggung oleh Perkeso.

Mengulas lanjut, Shazali berkata, pengecualian cukai mungkin boleh diberikan kepada pekerja mahupun majikan yang menjalani ujian swab namun tidak mencarum Perkeso.

"Ada golongan pekerja swasta yang bergaji tinggi mungkin tidak terlibat dengan caruman Perkeso. Jadi majikan kena keluarkan kos atau pekerja itu sendiri perlu keluarkan duit poket mereka," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai arahan kerja dari rumah, beliau berkata, produktiviti syarikat masih mampu dimaksimumkan tanpa kehadiran di pejabat.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya arahan hanya terpakai untuk pihak pengurusan atasan, adalah tidak adil meletakkan pekerja lain dalam risiko.

"Jika perlu, penjadualan kehadiran di pejabat mungkin boleh dilakukkan bukan hanya melibatkan jadual harian tetapi juga waktu. Contohnya, jika 50 peratus pekerja yang hadir pada hari tersebut, mereka ini hanya di pejabat pada waktu-waktu tertentu secara bergilir," katanya.

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Tuesday, October 20, 2020