Adat dan sains tidak boleh dipisahkan

Penduduk kampung akan bergotong-royong mendirikan khemah selepas lokasi perpindahan ditetapkan. Gambar kecil: Sazaly Abu Bakar
Penduduk kampung akan bergotong-royong mendirikan khemah selepas lokasi perpindahan ditetapkan. Gambar kecil: Sazaly Abu Bakar
A
A
A

[LAPORAN KHAS] KUALA LUMPUR - Bagi masyarakat orang asli suku Bateq, perpindahan ke dalam hutan sewaktu berlaku penularan penyakit termasuk Covid-19 baru-baru ini merupakan adat resam nenek moyang mereka sejak dahulu.

Menariknya, pakar virologi daripada Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, adat resam itu adalah selari dengan kaedah saintifik iaitu penjarakan sosial yang menjadi amalan masyarakat dunia pada hari ini bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti koronavirus.

“Kita tidak boleh pisahkan adat dan sains. Budaya dan adat resam itu sebenarnya dibentuk oleh sesuatu yang berlaku dalam masyarakat mereka secara berulang-ulang.

“Mereka sebelum ini jika melihat ada sesuatu wabak berlaku dan jika meninggalkan tempat yang berlakunya wabak itu, secara tidak langsung wabak itu akan berhenti dan apabila mereka kembali, wabak itu sudah tiada.

“Mereka sebenarnya telah tahu konsep penjarakan fizikal itu daripada dahulu lagi dalam adat dan budaya mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas budaya yang dicipta oleh nenek moyang masyarakat orang asli Bateq dahulu kala, Dr Sazaly berkata, itu kelebihan yang ada pada penghuni rimba yang melalui wabak berulang dalam kehidupan mereka sehingga pada hari ini menjadi adat resam generasi baharu.

“Kalau kita lihat pada masa dahulu mereka tidak mendapat konsep sains. Contohnya, kalau kita lihat mereka akan mengatakan ada makhluk-makhluk halus yang menyebabkan jangkitan.

“Bagi mereka, ia konsep makhluk halus yang menyebabkan jangkitan tetapi dalam konsep sains mungkin ia disebabkan bakteria atau virus.

Artikel Berkaitan:

“Mereka tidak ada mikroskop untuk melihat virus dan bakteria tetapi konsepnya tetap sama iaitu kalau kita jauhkan diri daripada virus atau ‘makhluk halus’ ini dalam tempoh masa yang berpanjangan, kita akan pulih seperti biasa,” kata Sazaly ketika ditemui di UM di sini baru-baru ini.