Lapan kakitangan Hospital Melaka positif Covid-19

Lapan anggota perubatan Hospital Melaka disahkan positif Covid-19.
Lapan anggota perubatan Hospital Melaka disahkan positif Covid-19.
A
A
A

MELAKA - Lapan anggota perubatan Hospital Melaka disahkan positif Covid-19, dan bukannya 11 sebagaimana yang tular di media sosial hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr Ismail Ali dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan lapan anggota perubatan itu kini menerima rawatan di hospital berkenaan, manakala kontak rapat mereka telah disaring dan kini menjalani kuarantin di rumah masing-masing, dan bukannya di hospital.

Katanya, perkhidmatan di Hospital Melaka tidak terjejas, sebaliknya diteruskan dengan pematuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, dan secara keseluruhannya 30 kes pesakit Covid-19 sedang dirawat di Hospital Melaka ketika ini.

Beliau berkata, Hospital Melaka merupakan hospital rujukan bagi kes Covid-19 di Melaka, dan menurutnya urusan di semua unit di hospital berkenaan perlu melalui janji temu, dan orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan di sana.

Mengulas lanjut, katanya, tiada penutupan wad termasuk Wad 1-1 di Hospital Melaka sebaliknya pihak pengurusan hospital telah mengambil langkah mengawal pergerakan di semua wad yang ada bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan pandemik itu.

Ismail berkata, orang ramai boleh menyalurkan sebarang pertanyaan berhubung situasi semasa Covid-19 di Melaka melalui Crisis Preparedness and Response Center Melaka dengan menelefon 06-2345999 atau dengan menghantar e-mel kealamat cprcmelaka@moh.gov.my.

Hari ini tular di aplikasi WhatsApp mendakwa wujud kluster membabitkan 11 kakitangan, jururawat, doktor di hospital itu dan wad 1-1 telah ditutup untuk dijadikan wad kuarantin kakitangan yang positif Covid-19.

Turut tular dakwaan hampir 30 petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka dijangkiti wabak berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: