Anifah 'telan' semua tuduhan terhadapnya

Anifah Aman
Anifah Aman
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman mempersoalkan pihak yang menyalahkan beliau berikutan abangnya, Tan Sri Musa Aman sebelum ini dituduh sebagai penyebab penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Anifah berkata, walaupun beliau mempunyai penjelasan tersendiri berhubung perkara itu, namun beliau membuat keputusan untuk 'menelan' sahaja semua tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

"Ada juga orang nak salahkan saya. Hari ini kes positif Covid-19 telah mencecah 862 di mana Sabah sahaja terdapat 673 kes baharu.

"Saya berharap agar ahli-ahli politik ketepikan pendirian dan fokus dalam membantu mangsa-mangsa Covid-19. Namun, mereka di sana lebih mementingkan kepentingan diri sendiri," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Anifah berkata, terdapat juga pihak yang menyalahkan orang lain termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berhubung penyebaran wabak Covid-19 yang begitu meluas di Sabah.

"Ada juga yang menyalahkan saya kerana tuduhan terhadap abang saya, Tan Sri Musa Aman yang menyebabkan sebaran kian meluas di Sabah. Ada ramai juga yang salahkan Mohd Shafie dan TYT (Tuan Yang Terutama).

"Saya ada penjelasan yang luar daripada biasa, tetapi saya membuat keputusan untuk menelan kesemua jawapan atas tuduhan tersebut.

"Nak salahkan saya juga, salahkanlah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun mengingatkan rakyat Sabah supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Jangan salam sentuh tangan buat ketika ini walaupun nampaknya sombong, rajin dan kerap mencuci tangan dan duduk di rumah kalau tiada perkara yang penting.

"Saya doakan anda semua sihat, selamat dan sejahtera," katanya.