X

Kindly register in order to view this article
!

Agenda Perdamaian Nasional

A
A

SUHU semasa politik negara sangat meresahkan semua pihak. Di kala kes koronavirus (Covid-19) semakin meningkat, rakyat semakin gundah dan sengsara, ekonomi negara semakin menguncup, penggangguran kian memuncak, bahkan bilangan yang hilang punca pendapatan semakin bertambah, malah ada yang sudah menjadi papa kedana.

Banyak pihak yang penulis temui menyatakan kebimbangan dengan situasi unprecedented phenomenon atau fenomena unik yang tidak pernah dialami iaitu ketidakstabilan politik dan ancaman wabak penyakit yang datang serentak, lantas memberi kesan cukup besar kepada kemakmuran ekonomi serta mengancam kesejahteraan rakyat.

Justeru, sudah tiba masanya semua ahli politik tidak kira parti mana sekalipun melakukan gencatan politik atas nama Perdamaian Nasional untuk memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan kepentingan rakyat. Inilah saat terbaik untuk kita sama-sama mengetepikan perbezaan fahaman politik dan memberi tumpuan kepada Agenda Perdamaian Nasional atau National Reconciliation.

Apa yang dimaksudkan dengan Agenda Perdamaian Nasional bukanlah bermakna kita mencairkan identiti dan ideologi perjuangan parti masing-masing, sebaliknya ia memberi keutamaan kepada parti-parti politik untuk menangguhkan seketika persengketaan yang tajam dalam soal pertarungan di koridor kuasa dan mengaktifkan pertemuan di meja perundingan bagi mencapai perdamaian.

Bagi mencapai agenda itu, setiap pihak mesti menyenaraikan titik-titik persamaan yang ada untuk dibincangkan dan seterusnya diwujudkan satu suasana menang-menang yang mampu mencapai persetujuan bersama.

Ia kedengaran agak pelik dan tidak pernah berlaku dalam politik Malaysia. Jika dahulu, kita biasa mendengar suasana seperti itu berlaku di negara-negara bergolak yang mencetuskan perang saudara dan sebagainya. Kini, hakikat yang sama telah muncul di Malaysia, namun syukur kepada ALLAH kerana suasana di Malaysia masih terkawal, rakyat sangat matang dan tidak ikut terheret serta terpengaruh dalam kancah pergolakan politik.

Inilah pujian yang boleh diberikan kepada rakyat Malaysia yang sangat matang dan sabar dalam menyaksikan drama politik tersebut. Pun begitu, rakyat tidak hanya memerhatikan lagak politik itu. Mereka menilai dari masa ke masa kerenah yang dimainkan oleh politikus berkenaan, yang pastinya akan dibuat keputusan oleh rakyat apabila tiba masanya kelak.

Sesungguhnya segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya yang ada perlu digembleng bersama untuk membentuk formula terbaik bagi membantu rakyat yang dihimpit dengan segala keperitan lantaran dampak Covid-19 yang kian mencengkam.

Agenda Perdamaian Politik juga adalah manifestasi ketulusan kepimpinan setiap parti siasah untuk menzahirkan nilai perjuangan sebenar yang bukan hanya seputar perebutan takhta tetapi adalah benar-benar untuk membantu rakyat.

Agenda Perdamaian Nasional perlu berpaksikan kepada tiga prasyarat utama. Pertama, political will atau iltizam politik. Kedua, political commitment atau komitmen politik dan ketiga, political sincerity atau kejujuran politik yang jitu untuk menjayakan agenda itu secara bersama dan menyeluruh.

Jangan sampai kita dihukum oleh rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah isu-isu politik di koridor kuasa negara. Itulah kesan yang perlu ditelan hasil daripada fenomena ketidakseimbangan politik yang terkandung dalam suasana pada hari ini.

Ketidakseimbangan politik sedang melalui fasa penjajaran dan penyesuaian semula kepada beberapa perkara asas yang memerlukan masa untuk diselaraskan.

Untuk tempoh tersebut, semua pihak perlu bertenang dan menumpukan soal menyelamatkan negara daripada wabak penyakit yang sedang melanda.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!