Duta Besar Indonesia tiba di Malaysia

Hermono (dua dari kanan) disambut oleh wakil Kementerian Luar Negeri dan pegawai Kedutaan Besar Republik Indonesa (KBRI) ketika ketibaannya di Kuala Lumpur semalam.
Hermono (dua dari kanan) disambut oleh wakil Kementerian Luar Negeri dan pegawai Kedutaan Besar Republik Indonesa (KBRI) ketika ketibaannya di Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia dijangka terus kukuh dengan ketibaan Duta Besar Indonesia ke Malaysia yang baharu, Hermono yang selamat tiba di Kuala Lumpur semalam.

Ketibaan Hermono yang disambut oleh wakil Kementerian Luar Negeri dan pegawai Kedutaan Besar Republik Indonesa (KBRI) Kuala Lumpur itu dimaklumkan melalui hantaran di instagram rasmi KBRI di sini hari ini.

Menurut KBRI, kehadiran Hermono ke Kuala Lumpur menandakan komitmen Indonesia dalam memperkuatkan lagi hubungan Republik tersebut dengan Malaysia.

“Kedatangan Duta Besar ini menyimbolkan pesan penting dalam rangka memperkuat kerja sama bilateral dan persahabatan Indonesia dan Malaysia,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, KBRI turut memaklumkan segala urusan ketibaan dutanya itu telah berjalan dengan lancar dengan mematuhi segala prosedur pencegahan koronavirus (Covid-19).

“Yang Mulia Bapak Hermono beserta Ibu (isteri) tiba di Kuala Lumpur dengan aman dan lancar.

“Sesuai dengan protokol kesihatan, Bapak Dubes (Duta Besar) dan Ibu menjalani karantina mandiri (kuarantin kendiri),” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Hermono dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penyampaian surat kepercayaan daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo selepas tamat tempoh kuarantin.

Artikel Berkaitan:

Hermono secara rasminya menjawat jawatan berkenaan pada 14 September tahun ini menggantikan Rusdi Kirana yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada Julai 2020.

Sebelum ini, Hermono pernah ditugaskan menjadi wakil Duta Besar Indonesia di Malaysia pada tahun 2013 sebelum dihantar menjadi Duta di Sepanyol pada 2018.