Bayi minum susu botol telan jutaan mikroplastik

Secara purata bayi yang diberi botol susu menelan kira-kira 1.6 juta mikropartikel plastik setiap hari sepanjang tempoh 12 bulan pertama dalam hidup mereka. - Foto Agensi
Secara purata bayi yang diberi botol susu menelan kira-kira 1.6 juta mikropartikel plastik setiap hari sepanjang tempoh 12 bulan pertama dalam hidup mereka. - Foto Agensi
A
A
A

DUBLIN - Bayi yang diberi botol susu mungkin menelan lebih sejuta kepingan mikroplastik pada setiap hari, menurut kajian terbaharu semalam yang jelas menunjukkan lambakan plastik dalam produk makanan.

Penyelidikan di Ireland itu berdasarkan kadar pelepasan mikroplastik dalam 10 jenis botol susu bayi atau aksesori yang diperbuat daripada polipropilena, plastik yang biasanya digunakan untuk menghasilkan bekas makanan.

Dalam tempoh ujian selama lebih 21 hari yang mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pensterilan dan keadaan penyediaan susu formula, pasukan itu mendapati botol susu melepaskan antara 1.3 dan 16.2 juta mikropartikel plastik untuk setiap liter.

Mereka kemudiannya menggunakan data tersebut untuk memodelkan potensi bayi global terdedah kepada mikroplastik daripada penyusuan melalui botol susu berdasarkan kadar purata penyusuan susu ibu.

Data itu menganggarkan secara purata bayi yang diberi botol susu menelan kira-kira 1.6 juta mikropartikel plastik setiap hari sepanjang tempoh 12 bulan pertama dalam hidup mereka.

Penulis kajian itu yang menerbitkan laporan tersebut dalam jurnal Nature Food mendakwa kaedah pensterilan dan pendedahan kepada suhu air yang tinggi memberi kesan besar kepada pelepasan mikroplastik.

Menurut penyelidik terbabit, matlamat kajian mereka bukan untuk mencetuskan kebimbangan kepada ibu bapa tentang potensi botol mikroplastik memberi risiko kepada kesihatan.

Kajian mereka juga mendapati bayi di negara maju mungkin menelan lebih banyak plastik iaitu 2.3 juta partikel sehari di Amerika Utara dan 2.6 juta di Eropah yang berpunca daripada kadar penyusuan susu ibu yang rendah di negara-negara kaya. - AFP

Artikel Berkaitan: