IPD KLIA terima 1,001 permohonan rentas negeri

Imran meninjau sekatan jalan raya ketika PKPB di Jalan Kuarters KLIA SIC, Sepang hari ini.
Imran meninjau sekatan jalan raya ketika PKPB di Jalan Kuarters KLIA SIC, Sepang hari ini.
A
A
A

SEPANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerima 1,001 permohonan rentas negeri sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuat kuasa bermula 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, daripada jumlah itu, pihaknya telah menolak 27 permohonan atas sebab alasan yang tidak jelas.

"Selain itu, kita juga telah mengeluarkan 32 kompaun atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, abai penjarakan fizikal dan lain-lain.

"Selain itu, saya juga mengingatkan van atau bas pekerja agar tidak membawa jumlah penumpang yang melebihi had ditetapkan," katanya kepada pemberita di lokasi sekatan jalan raya di Jalan Kuarters KLIA SIC, di sini hari ini.

Imran berkata, selain pelaksanaan sekatan jalan raya, pihaknya turut menubuhkan dua pasukan pemantau yang memfokuskan beberapa kawasan seperti lapangan terbang, kargo dan sekatan jalan raya.

Selain itu, beliau mendapati tahap pematuhan masyarakat adalah sangat memuaskan iaitu di tahap 98 peratus.

Dalam perkembangan lain, beliau mendedahkan, seorang lelaki yang membawa dadah seberat kira-kira 0.2 gram bernilai RM200 ditahan semasa sekatan jalan raya pada 15 Oktober lalu.

"Lelaki berusia 34 tahun itu kemudian direman untuk siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: