X

Kindly register in order to view this article
!

Minta JKR pantau jalan berisiko runtuh: Bung Moktar

Kejadian tanah runtuh di Kampung Panapuan, Bukit Kelawat, Kota Belud yang dilaporkan media sebelum ini. Gambar kecil:Bung Moktar Radin
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) di setiap daerah sentiasa memantau situasi jalan yang berisiko runtuh terutama ketika cuaca buruk melanda Sabah sejak kebelakangan ini.

Bung Moktar berkata, tindakan susulan berhubung sebarang kerosakan pada jalan dan jambatan yang rosak harus dilaksanakan dengan segera supaya laluan itu dapat digunakan penduduk.

"Ini bagi memastikan tahap keselamatan terkawal dan demi kepentingan pengguna jalan raya di kawasan terbabit.

"Kementerian sentiasa cakna kepada isu seperti ini dan akan mengambil tindakan susulan terhadap setiap laporan yang dikemukakan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa jalan dan jambatan di Kota Belud mengalami kerosakan akibat banjir dan keadaan cuaca yang buruk sejak beberapa hari ini.

Bung Moktar berkata, sebarang kerosakan jalan dan jambatan diambil maklum pihaknya dan JKR akan segera bertindak untuk melakukan kerja pembaikan di kawasan terlibat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerja membaik pulih jalan runtuh di Kampung Penapuan, Kota Belud akan segera dilaksanakan sebaik keadaan banjir di daerah itu pulih.

"Saya menerima maklum balas daripada jurutera daerah jika keadaan banjir pulih serta keadaan cuaca mengizinkan, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan segera mulai hari ini," katanya.

Beliau turut memaklumkan, kerja pembaikan tanah terhakis di Jambatan Utama Piasau akan dibaiki dengan segera jika keadaan cuaca mengizinkan.

"Jambatan ini adalah salah satu jalan alternatif apabila laluan utama Kampung Bobot dan kawasan sekitarnya dinaiki air," katanya.

Terdahulu, dalam Facebook beliau mengambil maklum laporan yang dikemukakan oleh rakan media berhubung kejadian tanah runtuh dan batu yang jatuh sehingga menghalang perjalanan pengguna jalan raya di kawasan Kampung Panapuan.

"Terima kasih kepada rakan-rakan yang prihatin akan situasi tanah yg terhakis di Jambatan utama Piasau, laluan Piasau ini adalah satu alternatif bila laluan terutama Bobot (kampung) dan kawasan sekitar dinaiki air.

"Apa pun untuk makluman bahawa JKR akan bertindak dan dimaklumkan bahawa jika tidak banjir, hari ini mungkin proses-proses selenggara dimulai sebab runtuhan ini sudah sedia dilapor pada bulan Julai," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!