ADUN UMNO dilantik Setpol MB Perak bukan isu besar: Pas Perak

Razman pada sidang media selepas merasmikan program My Healthy Garden dan #mysalamperak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak hari ini.
Razman pada sidang media selepas merasmikan program My Healthy Garden dan #mysalamperak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Pas Perak menyifatkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim daripada UMNO sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar bukan satu isu besar.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, atas dasar permuafakatan dalam Perikatan Nasional (PN), lantikan di luar konteks parti itu perlu dilihat sebagai sesuatu yang membanggakan.

"Dalam kerajaan yang kita duduk bersama ini sepatutnya tidak ada masalah lah, sebab peranan Setiausaha Politik ini menjaga keseluruhan pergerakan Menteri Besar. Bagi saya, kalaulah ahli dari parti Pas yang dilantik, sepatutnya kita boleh lebih bangga.

"Tambahan pula dalam situasi sekarang matlamat kita sama, kenapa pula kita nak membezakan duduk dalam kerajaan yang kita ada ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program My Healthy Garden dan #mysalamperak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini hari ini.

Menurutnya, sejak awal penubuhan kerajaan PN, Pas tidak mempunyai sebarang masalah sama ada dengan UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan sentiasa mengadakan perbincangan terhadap satu-satu perkara.

"Yang kita nak sekarang adalah tunjuk kepada rakyat bahawa kita boleh duduk berbincang sebagai kerajaan tanpa perlu menghebahkannya.

"Bukannya duduk sebantal, duduk serumah tetapi masih tidak sefahaman," katanya.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak itu berkata, sekiranya setiap parti masih mengamalkan sikap berkelompok, ketenteraman sebagai sebuah gabungan tidak akan tercapai sampai bila pun.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kali ada orang naik akan ada usaha pihak lain nak jatuhkan, jadi sampai bila pun tak akan habis sedangkan kita patut tumpu kepada pembangunan negeri.

"Bagi Pas, kegiatan-kegiatan politik ini kita kena buat gencatan politik sehingga suasana mengizinkan," katanya.

Terdahulu, UMNO Perak mempertikaikan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melantik Aznel sebagai setiausaha politiknya kerana ia tidak dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.