Kuasa simbol tiga jari di Thailand

Seorang penunjuk perasaan prodemokrasi menunjukkan simbol hormat tiga jari ketika perhimpunan di luar balai polis Nonthaburi di pinggir Bangkok semalam. - Foto AFP
Seorang penunjuk perasaan prodemokrasi menunjukkan simbol hormat tiga jari ketika perhimpunan di luar balai polis Nonthaburi di pinggir Bangkok semalam. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Payung sebagai ‘perisai’ dan isyarat tangan mewakili simbol lima tuntutan oleh kumpulan protes di Hong Kong telah dijadikan inspirasi oleh gerakan prodemokrasi di Thailand sepanjang tiga bulan bantahan mega berlangsung di negara itu.

Imej memaparkan gelagat aktivis memakai gogal, topeng muka gas ketika bertempur dengan pihak berkuasa jelas menggunakan taktik sama yang diguna pakai oleh kumpulan protes di Hong Kong pada tahun lalu.

Selain itu, mereka juga menggunakan beberapa bahasa tubuh untuk berkomunikasi antara satu sama lain seperti digunakan gerakan antikerajaan di hab kewangan Asia terbabit dan simbol hormat tiga jari sebagai isyarat penentangan yang dipaparkan menerusi filem The Hunger Games.

Sejak minggu lalu, Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha terus berdepan desakan untuk meletak jawatan yang menyaksikan gerakan protes itu bertindak melanggar perintah darurat walaupun kerajaan mengisytiharkan langkah itu bagi melarang sebarang perhimpunan diadakan.

Semalam, protes mega yang masuk hari keenam itu semakin mendapat momentum selepas penahanan beberapa aktivis terkenal selain pihak berkuasa mula menggunakan meriam air ke atas penunjuk perasaan buat pertama kali pada Jumaat lalu.

Tindakan tegas polis tidak mematahkan semangat mereka untuk mencapai matlamat bagi menggulingkan Prayut dan menuntut pembaharuan monarki selepas kumpulan protes terbabit tetap berhimpun di tengah Bangkok sambil melaungkan slogan ‘terus berjuang’.

Gerakan prodemokrasi itu turut mendapat sokongan daripada golongan aktivis muda di Hong Kong dan Taiwan yang menggelarkan diri mereka sebagai Pakatan Teh Susu (Milk Tea Alliance) di media sosial kerana minuman tersebut popular di ketiga-tiga tempat berkenaan.

Polis dalam satu kenyataan memaklumkan mereka telah mengarahkan siasatan dilancarkan ke atas empat rangkaian berita dan mengesahkan penggantungan Voice TV yang beroperasi secara dalam talian kerana melanggar Akta Jenayah Komputer dengan memuat naik maklumat palsu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mahkamah telah membenarkan ikat jamin terhadap 19 aktivis yang ditahan pada minggu lalu, namun mereka yang dibebaskan tidak termasuk pemimpin utama gerakan protes terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Kabinet Thailand menyokong cadangan untuk mengadakan sesi khas di Parlimen bagi membincangkan isu protes antikerajaan yang melanda ibu negara dan beberapa bandar utama sejak beberapa minggu lalu.

Menteri untuk Pejabat Perdana Menteri, Anucha Nakasai hari ini berkata, sidang tersebut akan berlangsung selama dua hari bermula Isnin depan, namun ia masih belum mendapat perkenan Raja Maha Vajiralongkorn. - AFP

Info:

Lima persamaan protes prodemokrasi di Thailand dan Hong Kong

1. Sasar pemimpin / raja

Kedua-dua gerakan memperjuangkan ketidaksamaan dan demokrasi. Di Hong Kong, kumpulan protes prodemokrasi melancarkan protes mega ke atas Ketua Eksekutif, Carrie Lam selepas China melaksanakan undang-undang keselamatan baharu di bandar raya semi autonomi tersebut. Di Thailand, gerakan protes tersebut dilancarkan bagi menuntut pembaharuan monarki.

2. Kedaulatan undang-undang

Protes di Hong Kong menentang secara meluas kawalan ketat Beijing ke atas hab kewangan Asia terbabit. Di Thailand, penunjuk perasaan menuntut pindaan Perlembagaan dan pembaharuan undang-undang lese majeste yang melindungi keluarga diraja.

3. Dipimpin golongan muda

Sejak dari awal, tunjuk perasaan mega di Hong Kong dipimpin golongan muda mewakili suara segenap lapisan masyarakat termasuk pemandu bas dan kakitangan awam. Pemimpin protes di Thailand juga dipimpin oleh golongan muda berusia dalam lingkungan awal 20-an yang lebih bersedia menggunakan taktik konfrontasi berbanding generasi lebih tua.

4. Topik 'taboo'

Di Hong Kong, aktivis muda berhasrat untuk menerapkan idea autonomi dan hak untuk mendapat kemerdekaan sepenuhnya daripada China yang merupakan konsep ditentang keras oleh Beijing. Di Thailand, mana-mana pihak yang membuka mulut tentang konsep pembaharuan monarki boleh dihukum penjara. Bagaimanapun, desakan semakin meningkat selepas aktivis muda dengan lantang menuntut undang-undang lese majeste dihapuskan dan menggesa aset kekayaan peribadi Raja Maha Vajiralongkorn dianggarkan berjumlah kira-kira AS$60 bilion (RM248 bilion) dibahagikan bersama orang awam.

5. Taktik protes

Penunjuk perasaan di Thailand menggunakan pelbagai peralatan termasuk, topi, gogal, topeng gas dan payung ketika disembur meriam air oleh pihak berkuasa. Ia jelas memaparkan imej sama yang berlaku ketika demonstrasi di Hong Kong pada tahun lalu. Kumpulan aktivis di Thailand dan Hong Kong juga menggunakan platform dalam talian untuk menyampaikan mesej menuntut sokongan. Kedua-duanya turut menggunakan simbol tangan yang mana penunjuk perasaan di Hong Kong menunjukkan tapak tangan yang mewakili slogan 'lima tuntutan' manakala kumpulan prodemokrasi di Thailand memaparkan isyarat hormat tiga jari yang menjadi simbol penentangan dalam filem The Hunger Games.