2.7 tan abu al- Quran dilupus di laut

Proses melupuskan abu al-Quran di perairan Tanjung Piai, Johor Bahru hari ini. - Foto Facebook APMM
Proses melupuskan abu al-Quran di perairan Tanjung Piai, Johor Bahru hari ini. - Foto Facebook APMM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 2.7 tan metrik abu al-Quran selamat dilupuskan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi kaedah pelarutan di perairan Tanjung Piai di sini hari ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, usaha terbabit merupakan kerjasama antara JAINJ dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor.

Beliau berkata, seramai 30 pegawai dan kakitangan JAINJ serta 20 anggota Maritim Malaysia yang diketuai Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria terbabit dalam program berkenaan.

"Sebanyak 2,700 kilogram abu al-Quran yang dibawa dari tiga daerah membabitkan Segamat, Kluang dan Johor Bahru dilarutkan bersama hari ini.

"Program kali ini merupakan anjuran kali kedua bagi tahun ini selepas diadakan di Mersing pada Jun lalu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu menasihatkan masjid dan surau menyediakan tempat untuk umat Islam menghantar al-Quran yang rosak.

"Selepas dikumpulkan, al-Quran yang rosak itu akan diurus dan diselia dengan sempurna oleh JAINJ supaya memudahkannya untuk dilarutkan," katanya.

Dalam pada itu, menerusi Facebook, APMM Johor memaklumkan bahawa mereka telah menggerakkan aset kapal KM Marudu, KM Sibuan dan Bot Pengawal 31 bagi menjayakan program berkenaan.

Artikel Berkaitan: