Lebih 25 tan daging babi sejuk beku dari Jerman dirampas

Pegawai Maqis membuat pemeriksaan pada kontena yang membawa kotak daging babi sejuk beku.
Pegawai Maqis membuat pemeriksaan pada kontena yang membawa kotak daging babi sejuk beku.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk sebanyak 1,041 kotak daging babi sejuk beku di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang di sini semalam.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, dalam pemeriksaan pada jam 11.30 pagi itu, pihaknya mendapati barangan yang dibawa dari Jerman itu tidak mempunyai dokumen pengimportan yang sah daripada Maqis.

Menurutnya, daging babi sejuk beku seberat 25,886.50 kilogram (kg) itu dianggarkan bernilai RM413,376.

"Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan di setiap pintu masuk negara adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini di mana ia akan memberikan impak kepada industri penternakan babi dalam negara.

"Antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej babi dan sebagainya," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Daging babi sejuk beku dari Jerman yang dirampas Maqis di Butterworth semalam.
Daging babi sejuk beku dari Jerman yang dirampas Maqis di Butterworth semalam.

Zarina berkata, perbuatan mengimport daging babi sejuk beku tanpa permit import merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan boleh dihukum kesalahan di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Maqis mengambil langkah serius mengenai pengimportan keluaran pertanian dalam negara terutama isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.