Lapan penghuni Darul Hanan positif Covid-19

Kelihatan kenderaan KKM masuk ke dalam Pusat Jagaan Darul Hanan, Kepala Batas hari ini.
Kelihatan kenderaan KKM masuk ke dalam Pusat Jagaan Darul Hanan, Kepala Batas hari ini.
A
A
A

KEPALA BATAS - Lapan penghuni Pusat Jagaan Darul Hanan di sini disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, seramai tujuh daripadanya merupakan kontak rapat kepada seorang penghuni berumur 69 tahun yang didapati positif Covid-19 pada minggu lalu.

Menurutnya, wanita terbabit berusia 69 tahun adalah penghuni yang baru mendaftar masuk di pusat jagaan berkenaan pada 12 Oktober lalu.

Kawalan ketat di hadapan pintu masuk Pusat Jagaan Darul Hanan, Kepala Batas hari ini.
Kawalan ketat di hadapan pintu masuk Pusat Jagaan Darul Hanan, Kepala Batas hari ini.

“Ujian saringan terhadapnya mendapati dia positif Covid-19. Kini lapan orang warga emas telah disahkan positif.

"Kesemua mereka kini sedang menerima rawatan di HPP," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Zakiyuddin berkata, pihaknya kini memperketatkan laluan keluar masuk ke pusat jagaan berkenaan dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan penghuni dan kakitangan.

Beliau berkata, kesemua 79 penghuni dan 33 kakitangan sudah menjalani ujian saringan pertama dan kini sedang menjalani ujian pengesahan kali kedua.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini semua peralatan asas mencukupi. Semua penghuni dan kakitangan juga tidak boleh keluar masuk sehingga keadaan mengizinkan,” katanya.

Darul Hanan dibina di bawah pembiayaan Yayasan Bukhary di atas sebahagian tanah MAINPP seluas 3.24 hektar bagi penempatan dan penjagaan warga emas termasuk lelaki serta perempuan yang mana kapasiti pusat jagaan itu mampu memuatkan 200 penghuni.

Antara prasarana yang disediakan adalah bangunan asrama, perpustakaan, kafeteria, surau, wad, dewan serbaguna dan bengkel.