SuperKip sah tinggalkan Petronas SRT

Khairul Idham. - Foto Petronas SIC
Khairul Idham. - Foto Petronas SIC
A
A
A

SETELAH dua musim beraksi bersama pasukan Petronas SRT, pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi atau lebih dikenali sebagai SuperKip mengesahkan akan meninggalkan pasukan berkenaan pada penghujung musim 2020 kelak.

Menurut Khairul Idham, 22, keputusan meninggalkan pasukan yang disertainya sejak 2019 itu dibuat setelah melalui musim perlumbaan yang sukar, terutamanya masalah kecederaan jari tangannya yang dilihat menjadi faktor kegagalannya untuk membantu pasukan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Dua musim ini (2019-2020) telah menjadi musim yang sangat mencabar buat saya khususnya melibatkan masalah kecederaan jari tangan saya.

“Apa pun, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua individu dalam pasukan yang banyak membantu saya selama dua musim saya bersama pasukan (Petronas SRT).

“Saya akan meneruskan kerjaya saya sebagai pelumba dengan mencari platform terbaik dan seterusnya memberi penghargaan kepada semua peminat yang menyokong saya selama ini,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Untuk rekod, pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak ini menyertai Petronas SRT pada 2019 dalam kategori Moto2 sebelum mengambil keputusan menyertai kategori Moto3 berikutan masalah kecederaan jari tangannya.

Aksi Khairul Idham pada GP Aragon, minggu lalu. - Foto Petronas SIC
Aksi Khairul Idham pada GP Aragon, minggu lalu. - Foto Petronas SIC

Ketika berlumba dalam kategori Moto2 musim lalu, Khairul Idham berada pada kedudukan ke-30 Kejuaraan Dunia dengan tiga mata; namun musim ini dia gagal meraih sebarang mata setakat ini dan langsung tidak tersenarai dalam kedudukan Kejuaraan Dunia.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, pasukan Petronas SRT akan terus membantu Khairul Idham bagi menamatkan baki empat perlumbaan selepas ini.

Sementara itu Prinsipal Petronas SRT Datuk Razlan Razali berkata, jelas masalah kecederaan Khairul Idham dilihat telah menjejaskan prestasi pelumba berkenaan.

Justeru katanya, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk membawa haluan berbeza mulai musim hadapan

demi kebaikan bersama.

“Setelah dua tahun bersama, kita tak dapat mencapai sasaran kita dan ianya jelas masalah kecederaan yang berlaku pada Khairul Idham telah menjejaskan prestasinya.

“Atas persetujuan bersama, keputusan ini dibuat dan kami mengucapkan selamat maju jaya buat Khairul Idham dalam kerjayanya pada masa hadapan,” katanya.