X

Kindly register in order to view this article
!

Bank Muamalat sahkan empat lagi pekerjanya positif Covid-19

Empat kakitangan Bank Muamalat cawangan Kota Kinabalu diuji positif Covid-19, menjadikan jumlah jangkitan di cawangan itu kepada lima orang.
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Muamalat Malaysia Bhd mengesahkan empat lagi pekerjanya di cawangan Kota Kinabalu telah diuji positif koronavirus (Covid-19), menjadikan jumlah jangkitan di cawangan itu kepada lima orang.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata, pekerja yang dijangkiti di cawangan Aeropod Commercial Square sedang dirawat di sebuah hospital kerajaan.

Cawangan itu ditutup minggu lepas bagi membolehkan prosedur sanitasi dan pembersihan dijalankan selepas seorang pekerja disahkan positif Covid-19.

“Semua rakan sekerja yang telah berhubung secara langsung dengan pekerja terlibat telah diminta untuk kuarantin diri di rumah selama 14 hari, sehingga diberi pelepasan perubatan yang sewajarnya.

"Pengesanan kontak juga sedang dijalankan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan," menurut bank itu.

Waktu perniagaan bagi cawangan terpilih telah diubah untuk beroperasi dari jam 9.15 pagi hingga 3 petang sahaja. Ini bagi mengurangkan kemungkinan risiko kesihatan disebabkan oleh peningkatan jumlah kes Covid-19.

“Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa perniagaan terus beroperasi seperti biasa, dengan gangguan yang minimum di samping menjaga keselamatan sebagai keutamaan," tambahnya.

Untuk maklumat lanjut, boleh lawati www.muamalat.com.my atau hubungi 03-2600 5500. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!