Enam kali henti tugas kerana pencemaran

Shuhaimi (kanan) bersama Rodziah (tengah) melawat salah seorang penduduk di Rumah Pangsa Rimba, Shah Alam hari ini.
Shuhaimi (kanan) bersama Rodziah (tengah) melawat salah seorang penduduk di Rumah Pangsa Rimba, Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sebanyak enam kali pada tahun ini berpunca daripada insiden pencemaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, pihaknya amat memahami keperitan dihadapi pengguna yang terjejas susulan daripada insiden gangguan bekalan air tidak berjadual sebelum ini.

Menurut Suhaimi, kejadian pencemaran itu juga menyebabkan gangguan kepada 1.2 juta pengguna di sekitar Lembah Klang sebelum ini.

"Air Selangor amat kecewa dengan insiden pencemaran ini yang kerap berlaku sehingga menyebabkan penutupan LRA berkenaan.

"Kami menyokong penuh usaha pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan penjenayah alam sekitar ini," katanya sewaktu Program Bantuan Bekalan Air Kepada Penduduk Rumah Pangsa Rimba di sini hari ini.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] 1.2 juta akaun pengguna di KL, Selangor terjejas bekalan air

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di tujuh daerah di negeri ini berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah di kesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi semalam.

Artikel Berkaitan:

Pencemaran tersebut telah menyebabkan penutupan empat loji iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Mengulas mengenai status perkembangan terkini gangguan bekalan air berkenaan, Shuhaimi berkata, pihaknya menjangkakan bekalan air akan mula disalurkan sepenuhnya pada jam 8 pagi Khamis ini berdasarkan daripada pemajuan agihan air dicapai sehingga kini.

Sehingga jam 4.30 tadi, Shuhaimi berkata, sebanyak 715 kawasan telah disalurkan air, manakala baki 577 lagi masih dalam proses pemulihan agihan bekalan berkenaan.

"Air Selangor telah memaksimumkan usaha untuk memulihkan bekalan kepada pengguna yang terjejas," katanya.

Ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai pemberian insentif kepada pengguna terjejas, Shuhaimi berkata, buat masa ini, pihaknya tidak mempertimbangkan sebarang pemberian tersebut.

"Gangguan bekalan air ini disebabkan oleh tindakan penjenayah alam sekitar, jadi kita tak akan pertimbangkan pemberian buat masa ini," katanya.