Tauke shisha didakwa cederakan polis

Seorang tauke shisha bersama dua pekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.
Seorang tauke shisha bersama dua pekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang tauke shisha bersama dua pekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis termasuk seorang Lans Koperal yang patah jari tengah pada tangan kanan dan menghalang tugas mereka.

Peniaga tersebut, Mohamad Nornasharieq Rosli, 28, dan pembantu kedai makan berkenaan, Mohamad Hamiri Asraf Ab Hamid @ Abdul Aziz,24, serta Mohammad Nor Aizaq Rosli, 25, (adik Nornasharieq) bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa secara berasingan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli dan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Menurut pertuduhan pertama, Mohamad Nornasharieq didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Lans Koperal Tuan Hafizuddin Tuan Muhd Sekuli sehingga menyebabkan cedera tulang tangan di sebuah bistro di Lembah Sireh di sini pada jam 8.15 malam, 14 Oktober lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang lagi polis, Inspektor Indrah Nahu dengan cara menumbuk dan mencakar ke arah muka sehingga mengalami kecederaan pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 16 November depan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Hamiri Asraf dan Mohammad Nor Aizaq mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan bersama-sama menghalang tugas penjawat awam dengan menghalang pihak polis daripada membuat tangkapan terhadap Mohamad Nornasharieq.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Akta Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli sementara ketiga-tiga diwakili peguam, Nur Nadia Mohd Nordin.

Mereka dibenarkan diikat jamin masing-masing RM4,000. Sebutan kes ditetapkan pada 24 November depan untuk serahan dokumen.