Tiada campur tangan DAP dalam urusan Islam

Ahmad Amzad
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas memberi amaran supaya kerajaan tidak memberi laluan kepada campur tangan DAP dalam urusan Islam.

Naib Yang Dipertua (YDP) Pas Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pendirian itu telah diputuskan oleh parti berkenaan.

"DAP dilihat secara berterusan cuba menghalang usaha memperkasakan institusi mahkamah syariah dengan pelbagai alasan.

"Begitu juga dengan pelantikan wakil DAP sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang dilihat jelas bercanggah," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut berhubung pelantikan Adun DAP, katanya, kenyataan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof bertentangan dengan prinsip Islam.

"Ingat, 63 peratus rakyat Malaysia adalah umat Islam yang ada had kesabarannya dan tidak teragak agak mempertahankan Islam jika terus diganggu.

"Beliau juga perlu ingat bahawa amaran ALLAH SWT mengatasi kenyataan beliau," katanya.

Terdahulu, Mujahid dilaporkan memberi amaran supaya tiada pihak mempertikaikan pelantikan wakil DAP sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yadim.

ARTIKEL BERKAITAN: Lantikan Sheikh Omar: Mujahid beri amaran

Mujahid dilaporkan berkata, tindakan akan dikenakan mengikut prosedur sekiranya ia berlaku di peringkat dalaman manakala jika melibatkan orang luar, tindakan akan dibuat menerusi laporan oleh individu lain.

Polemik timbul setelah Adun DAP, Sheikh Omar Ali diumumkan antara 10 ahli politik yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim.

ARTIKEL BERKAITAN: Sheikh Omar sah dilantik ahli lembaga pemegang amanah Yadim


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia