Covid-19: Operasi LTAM mungkin ditangguh

Roslan (kanan) diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Datin Sapiah Haron melawat tapak projek pembinaan Landskap Persekitaran Kehidupan di Padang Awam dan Bandar Selamat Merlimau, Melaka hari ini. - Foto Bernama
Roslan (kanan) diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Datin Sapiah Haron melawat tapak projek pembinaan Landskap Persekitaran Kehidupan di Padang Awam dan Bandar Selamat Merlimau, Melaka hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Kerajaan Melaka tidak menolak kemungkinan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) akan ditangguh hingga tahun depan berikutan situasi penularan Covid-19 yang masih belum stabil di negara ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Melaka, Datuk Roslan Ahmad berkata, peningkatan kes di negeri itu serta Pulau Pinang menyukarkan laluan membabitkan kedua-dua negeri dibuka semula.

"Kerajaan negeri akan menunggu sehingga keadaan kembali pulih sebelum membenarkan LTAM beroperasi semula," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Projek Pembinaan Landskap Persekitaran Kehidupan di Padang Awam dan Bandar Selamat Merlimau yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan LTAM Batu Berendam dijangka kembali beroperasi melibatkan laluan Melaka-Pulau Pinang yang dikendalikan syarikat penerbangan Malindo Air.

Mengulas mengenai projek landskap berkenaan, Roslan berkata, kawasan itu bakal menjadi mercu tanda baharu di Jasin.

Katanya, kedua-dua projek yang dibangunkan oleh MPJ dengan kos kira-kira RM900,000 itu dijangka siap pada Disember ini.

"Pembangunan projek yang mempunyai kesinambungan antara satu sama lain ini meliputi landskap, dataran, trek larian, jalan pesiar kaki, pagar jalan, cermin dan lampu sebagai pencahayaan untuk keselamatan dan keselesaan penduduk terutamanya pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di sini.

"Kedua-dua projek ini akan dinaik taraf mengikut fasa dari masa ke masa sehingga ia menjadi ikon bandar Jasin dan tumpuan kawasan sekitarnya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: