X

Kindly register in order to view this article
!

Kit Siang gesa PN henti main politik, fokus perangi Covid-19 di Sabah

Lim Kit Siang
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk berhenti bermain politik dan menumpukan tenaga untuk menyalurkan semua sumber bagi membantu melawan wabak koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Kit Siang berkata, walaupun Sabah kini menjadi pusat penularan utama gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia dan Selangor menjadi negeri kedua, mencatatkan 3,357 jangkitan dan 25 kematian, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri dilihat terus sibuk dengan perebutan kuasa.

Menurutnya, malah mereka juga tidak menyalurkan semua sumber yang ada untuk membantu usaha memerangi Covid-19 di Sabah.

Katanya, sebelum ini beliau membaca surat terbuka daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang menafikan dirinya bertanggungjawab terhadap gelombang ketiga wabak Covid-19 yang sedang melanda Sabah dan Malaysia.

"Saya akan katakan, jika ada sesiapa di Sabah yang perlu bertanggungjawab terhadap gelombang ketiga wabak ini, orang tersebut adalah Musa.

"Ini kerana Musa merupakan Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun, daripada tahun 2003 sehingga 2018 tetapi beliau telah meneruskan dasar yang menyebabkan Sabah kekal sebagai negeri termiskin dalam negara, baik dari segi kadar kemiskinan dan juga pembangunan infrastruktur di negeri tersebut," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Shafie tidak mahu tangguh PRN punca kes Covid-19 mendadak'

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, dalam tempoh 15 tahun Musa menjadi Ketua Menteri Sabah dan beliau mempunyai lebih daripada cukup masa untuk memenuhi janji Pilihan Raya Umum (PRU) 1994 yang dibuat oleh UMNO Sabah untuk sebuah Sabah Baharu.

Beliau berkata, antara yang dijanjikan UMNO iaitu pada tahun 1994, untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah daripada 33 peratus kepada sifar menjelang tahun 2000.

Menurutnya, Sabah adalah salah satu negeri yang terkaya dengan hasil semula jadi tetapi selepas lebih daripada setengah abad dalam Malaysia, rakyat Sabah kekal sebagai antara yang termiskin di negara ini dan berada dalam kalangan negeri seperti Kelantan.

"UMNO juga berjanji untuk menghapuskan kadar buta huruf di Sabah kepada sifar menjelang tahun 2000 tetapi objektif itu masih lagi kekal sebagai angan-angan kosong.

"Malah janji untuk menghapuskan rasuah di Sabah juga tidak berlaku apabila Sabah menjadi salah satu negeri dengan masalah rasuah yang amat serius di mana para pemimpin politik yang korup kelihatan seakan-akan kebal dari pendakwaan selain turut berjanji untuk memberikan setiap rakyat Sabah sebuah rumah menjelang tahun 2000," katanya.

Kit Siang berkata, janji UMNO pada tahun 1994 untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah juga tidak terlaksana dan selepas 26 tahun setelah 'Aku Janji' pertama ini, masalah pendatang asing tanpa izin kekal sebagai satu masalah yang rumit dan sukar diselesaikan.

Beliau berkata, adakah kerajaan baharu Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berikrar akan memenuhi janji yang dibuat 26 tahun lalu ini?

Namun begitu Kit Siang berkata, beliau tetap berpegang dengan pendapat bahawa punca krisis Covid-19 di Malaysia ini adalah susulan Langkah Sheraton pada Februari lalu yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan dan menyebabkan berlakunya gelombang kedua dan ketiga wabak tersebut sehingga mencatatkan 21,363 jangkitan dan mengorbankan 190 nyawa di seluruh negara setakat hari ini.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula menyalahkan parti Pribumi Bersatu Malayu (Bersatu) di atas gelombang ketiga ini apabila pada minggu lalu beliau menulis mengatakan yang Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menolak cadangan daripada Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba), untuk melaksanakan kuarantin wajib ke atas mereka yang pulang dari Sabah sebelum berlangsungnya pilihan raya serta menyalahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana tidak mengasingkan banduan dengan betul atau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah menyebabkan berlakunya beberapa kluster jangkitan di pusat tahanan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengatakan yang penularan Covid-19 di dan dari Sabah tertangguh akibat sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Peningkatan jangkitan yang berlaku di Sabah sangat mengejutkan iaitu lebih daripada 19 kali ganda dan peningkatan kadar kematian lebih daripada lapan kali ganda dalam tempoh kurang daripada dua bulan.

"Adakah Musa bersetuju bahawa perkara ini adalah satu akibat tindakan politik tidak bertanggungjawab yang menghampiri perbuatan kecuaian jenayah?" katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!